SATU gempa bumi berkekuatan 6.2 pada skala Richter melanda wilayah Pasaman Barat di utara Sumatera, Indonesia pada 8.39 pagi Jumaat.
Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG), pusat gempa berkenaan berada di bawah laut 17 km di timur laut Pasaman Barat.

Menurut agensi itu, gegaran akibat gempa turut dirasakan di Gunungsitoli dan Nias Selatan.
MetMalaysia menerusi ciapan di Twitter memaklumkan gegaran tersebut turut dirasai di bahagian barat Semenanjung terutama di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia. Gegaran dirasai di bahagian Barat Semenanjung terutama di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Johor,” kata agensi itu dalam kenyataannya pada Jumaat.
Di Putrajaya, gegaran turut dirasai di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan dan warga kerja di beberapa kementerian telah diarahkan mengosongkan bangunan.
Antara kementerian yang terlibat adalah di Presint 4 seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Setia Perdana yang dahulunya dikenali sebagai Kompleks B dan Kementerian Wilayah Persekutuan.
Petugas-petugas kementerian diminta berkumpul di kawasan lapang berhampiran kementerian masing-masing.
BMKG turut memberi amaran akan berlaku gegaran susulan dan menasihati orang ramai agar berjaga-jaga. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.