31,199 kes baru Covid-19, rekod tertinggi sejak penularan

JUMLAH kes positif Covid-19 di seluruh negara kini melebihi paras angka 30,000 apabila sebanyak 31,199 kes direkodkan pada Rabu.

Angka itu menjadikan rekod tertinggi pernah dicatatkan sejak virus berkenaan dikesan di negara ini.

Kes tertinggi yang pernah direkodkan di Malaysia adalah pada 19 Februari lalu dengan 28,825 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes semalam, sejumlah 31,080 kes merupakan penularan tempatan, manakala 119 kes lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Daripada jumlah itu sejumlah 99.38 peratus atau 31,005 kes adalah pesakit kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

“Sementara 194 kes iaitu 0.62 peratus adalah pesakit dalam kategori tiga hingga lima yang mempunyai radang paru-paru, memerlukan alat bantuan pernafasan dan kritikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkembangan itu menjadikan kes kumulatif positif Covid-19 di seluruh negara kini mencecah 3,305,157 kes.

Menurut Dr. Noor Hisham, sebanyak 153 kes atau 78.87 peratus di dalam golongan pesakit kategori tiga hingga lima adalah kalangan mereka yang belum mendapatkan vaksinasi atau belum lengkap vaksinasi atau sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 namun belum mendapatkan dos penggalak.

“Selain itu, 92 kes (47.42 peratus) adalah dalam kalangan individu berusia 60 tahun dan keatas, mempunyai komorbid (91 kes), sudah menerima dos penggalak (41 kes) dan ibu mengandung (tiga kes),” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham memaklumkan sehingga kini terdapat 305 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) membabitkan 118 kes disahkan COVID-19 dengan 187 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

“Bagi pesakit COVID-19 yang berada dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat sebanyak 191 kes iaitu 72 daripadanya sudah disahkan COVID-19 serta 119 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 14 kluster penularan Covid-19, sekaligus menjadikan terdapat 506 kluster yang masih aktif di negara ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan sejumlah 20,399 kes sembuh direkodkan setakat semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih kini mencecah 2,994,840 kes.–SB