KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenakan tindakan penolakan di semua pintu masuk negara terhadap dua produk rumusan bayi keluaran Abbot Nutrition berkuat kuasa serta merta hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu dilakukan selepas KKM menerima laporan mengenai penemuan bakteria dalam produk berkenaan hari ini.
“KKM mengambil maklum laporan Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (USFDA) mengenai isu penemuan bakteria Cronobacter sakazakii dan Salmonella Newport dalam rumusan bayi keluaran Abbott Nutrition’s Sturgis dari Amerika Syarikat.
“Hasil siasatan KKM mendapati hanya dua produk rumusan bayi yang terlibat iaitu Alimentum (400g) & Human Milk Fortifier (0.9gx50 sachets) dengan nombor kelompok yang dimulai digit 22 hingga 37 pada kodbar di bekas bernombor K8, SH atau Z2 serta mempunyai tarikh luput 1.4.2022 dan seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya hari ini.
Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, KKM telah menghubungi pihak syarikat Abbott Lab Sdn. Bhd. berhubung perkara tersebut.
Katanya, KKM mengesahkan syarikat telah membuat penarikan balik produk terlibat yang berada di pasaran tempatan secara sukarela.
“Syarikat tersebut telah mengambil tindakan proaktif dengan menghubungi peruncit, pengedar dan insitusi yang membeli produk berkenaan agar menghentikan penjualan produk tersebut.
“Bakteria Cronobacter sakazakii terdapat secara meluas di persekitaran dan hidup pada keadaan kering sepert di dalam rumusan bayi.
“Jangkitan Cronobacter boleh menyebabkan meningitis dan sepsis.
“Namun begitu, ia jarang berlaku dan gejala pada bayi adalah seperti demam, tiada selera makan atau kelesuan,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.