KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Kementerian Kewangan (MOF) akan membentangkan memorandum Jemaah Menteri pada bulan depan untuk menyelesaikan isu berkaitan Digital Nasional Berhad (DNB).
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kedudukan DNB dan sistem Rangkaian Borong Tunggal (Single Wholesale Network) atau ‘Dual Wholesale Network’ yang menjadi perdebatan dan polemik itu perlu diselesaikan segera, susulan hasil mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang diadakan pada Khamis.
“Kalau dibiarkan berlarutan ia akan menjejaskan program pelaksanaan 5G yang merupakan faktor utama kepada program Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan pelaksanaan MyDIGITAL,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Sukarelawan Operasi Bantu Hingga Selesai (Op BAHIS) di Putrajaya pada Jumaat.
Annuar berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan KKMM dan MOF untuk mengemukakan memorandum Jemaah Menteri bagi memuktamadkan konsep dan ‘way forward’ (jalan penyelesaian) dalam soal melaksanakan jalur lebar 5G.
“Ini telah disiapkan dan semalam kedua-dua kementerian (KKMM dan MOF) telah duduk bersama dan muktamadkan draf memorandum yang akan diedarkan kepada beberapa kementerian yang berkaitan untuk mendapatkan pandangan,” katanya yang menyasarkan pembentangan memorandum itu dibuat pada minggu pertama Mac.
Annuar berkata, Perdana Menteri telah memberi arahan supaya setiap agensi dan kluster membuat pelaporan kepada MED4IRN setiap tiga bulan dan ini termasuk kluster yang dipengerusikannya iaitu Kluster Infrastruktur Digital dan Data.
“Ini bermakna negara kita meletakkan agenda digital ekonomi dan program 4IR (Revolusi Perindustrian Keempat) serta pelaksanaan MyDIGITAL pada keutamaan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata, beberapa kertas cadangan telah dibentangkan pada MED4IRN semalam antaranya berkaitan mewujudkan projek ikonik sebagai dorongan pelaksanaan program ekonomi digital.
Annuar dalam pada itu berkata ‘roll out’ Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada masa ini mengikut jadual malah ada juga ‘sedikit mendahului jadual’.
Menurutnya, jumlah premis bagi program ‘Point of Presence’ (PoP) yang menyasarkan sembilan juta rumah, kini sudah menghampiri tujuh juta premis dan bakal mencapai 100 peratus menjelang 2023. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.