Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
MUDA hanya mahu ‘kerusi selamat’, kata Najwan -

MUDA hanya mahu ‘kerusi selamat’, kata Najwan

WAKIL rakyat PKR, Najwan Halimi, membidas MUDA kerana mahu PKR hanya menyerahkan kerusi yang dikatakan “selamat” kepada mereka dalam rundingan kerusi pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Menulis di Twitter, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik itu mendedahkan bahawa parti pimpinan bekas Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hanya mahu bertanding di “kerusi selamat” selepas PKR menawarkan tiga kerusi DUN Johor kepada mereka.

“Kami dah tawar tiga kerusi, tapi kalian angkuh. Kalian nak semua kerusi selamat macamlah kalian ada jentera di bawah,” kata Najwan seperti yang dilaporkan FMT pada Jumaat.

Pada pagi Jumaat, Syed Saddiq membayangkan kemungkinan berlakunya risiko pertindihan kerusi antara MUDA dan PKR di Johor kerana rundingan pengagihan kerusi tamat tanpa persetujuan.

“Jika benar ia membawa budaya politik baharu dan mahukan penyatuan pembangkang, MUDA tidak wajar meletakkan calon di kerusi yang ditandingi oleh PKR,” kata Najwan kepada FMT.

Beliau menambah, sebagai parti baharu MUDA perlu terlebih dahulu membina jentera di peringkat akar umbi.

Sementara itu, seorang lagi wakil rakyat PKR mengingatkan Syed Saddiq supaya menyedari kekuatan sebenar MUDA sebelum mengancam PKR.

“Syed Saddiq pemimpin MUDA memang mempunyai karisma. Anda mempunyai ramai pengikut di alam maya. Tetapi di alam nyata, jangan sesekali memberi amaran atau ugutan kepada parti Keadilan,” kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Beliau berharap Syed Saddiq mempelajari sejarah PKR yang menghadapi pelbagai bentuk cabaran sebelum ini.

“Penulis ini sudah tua tetapi orang tua ini kenal perangai ‘anak muda julung berkeris’,” katanya. – SB