Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Sagu hati tangguh umrah: Jemaah perlu buka akaun simpanan TH - Idris -

Sagu hati tangguh umrah: Jemaah perlu buka akaun simpanan TH – Idris

JEMAAH umrah yang akan menerima bayaran sagu hati kerana terpaksa membatalkan ibadah berkenaan susulan penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah, diberi tempoh sehingga Mac ini untuk membuka akaun simpanan Tabung Haji (TH) bagi tujuan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, tempoh itu dilanjutkan ekoran terdapat lebih 1,000 jemaah terlibat masih belum membuka akaun simpanan berkenaan yang merupakan medium tunggal digunakan untuk pembayaran sagu hati itu.

“Pembayaran sagu hati tersebut akan dibuat pada Jumaat ini (18 Februari) dan kita harapkan jemaah yang akan menerima sagu hati itu akan segera membuka akaun simpanan TH, pembayaran akan dilanjutkan sehingga Mac ini.

“Apa pun (pembayaran) mesti menggunakan akaun TH kerana ia memudahkan dan TH ada di semua tempat termasuk di kampung,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 di Masjid Al-Azim Melaka pada Selasa.
 
Majlis tersebut disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.

Idris berkata, beliau juga telah mengarahkan TH memaklumkan pejabat cawangannya di seluruh negara supaya mempermudahkan pembukaan akaun simpanan berkenaan agar proses pembayaran sagu hati berjalan lancar.

Sebelum ini, media melaporkan pembayaran sagu hati sebanyak RM1,671 seorang kepada jemaah umrah yang membatalkan pemergian susulan penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah akan dibuat pada 18 Februari ini.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menyerahkan senarai 8,027 jemaah umrah yang terkesan serta layak menerima sagu hati tersebut dan daripada jumlah itu, hampir 1,000 jemaah umrah masih belum mempunyai akaun simpanan TH. – Bernama