Isu pemecatan Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali sebagai setiausaha Majlis Syura Ulama PAS disifatkan hanya umpama air yang “berkocak di dalam cawan” dan bukannya konflik dalaman parti.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, yang berkata demikian turut menyatakan, tidak memberi kesan kepada Majlis Syura dan beliau yakin isu berkenaan akan diredakan secara harmoni dalam masa terdekat selepas majlis syura membuat ketetapan.
Malah, katanya, perbincangan bagi mengatasi isu berkenaan sedang dijalankan.
“Isunya tak besar, berkocak air dalam cawan saja. Insya-Allah boleh diatasi, perbincangan sedang berjalan.
“Ada usaha dan saya penuh yakin kita akan selesai dengan cara baik,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Pada 11 Februari lalu, Khairuddin yang juga anggota parlimen Kuala Nerus digugurkan daripada jawatan setiausaha Majlis Syura Ulama PAS.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, jawatan itu terbatal kerana Jawatankuasa Pusat PAS membatalkan pelantikannya sebagai anggota Majlis Syura.
“Nak jadi setiausaha Majlis Syura kena jadi ahli Majlis Syura. Maka gugurlah (keanggotannya) daripada Majlis Syura dan (jawatan sebagai) setiausaha Majlis Syura,” kata Abdul Hadi ketika itu.
Ditanya sama ada Majlis Syura Ulama PAS akan mendapatkan penjelasan Abdul Hadi berhubung perkara itu, Hashim kata pihaknya sudah pun mendapatkannya.
“Kita sudah dapat penjelasan dan majlis syura juga sedang bermesyuarat serta berbincang mengenai perkara ini,” katanya lagi. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.