Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KERAJAAN Johor mencadangkan jumlah pengembara yang menggunakan inisitiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat bagi Malaysia-Singapura ditambah apabila sempadan dibuka pada 1 Mac ini.
Menteri BesarJohor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, seramai 700 pengembara VTL darat dibenarkan dalam masa sehari untuk laluan sehala ketika ini dan jumlahnya dijangka meningkat selepas pembukaan sempadan nanti.
Beliau berharap, pembukaan sempadan itu juga tidak akan membebankan rakyat Malaysia di republik itu yang pulang hanya untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Selaku Menteri Besar, saya sokong hasrat untuk membenarkan mereka pulang, walaubagaimanapun ia tertakluk kepada persetujuan bersama kedua-dua negara kerana kita tidak mahu menyusahkan rakyat.
“Kita tidak mahu kebenaran balik itu atas sebab politik tetapi apabila mereka mahu pulang bekerja di Singapura akan timbul isu lama iaitu perlu menanggung kos kuarantin yang tinggi.
“Saya tidak fikir itu tindakan yang baik melainkan kerajaan buat keputusan sedia untuk membayar kos sekiranya mereka balik semula ke Singapura,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Common Ground Iskandar Space di Bandar Medini, Kota Iskandar, hari ini.
Kelmarin, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, pihaknya bersetuju supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Khamis berkata, keputusan akhir pembukaan semula sempadan akan diputuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas dibentang dalam mesyuarat jemaah menteri atau mesyuarat bersama Jawatankuasa Khas Pemulihan Covid-19.
Hishammuddin berkata, isu pembukaan semula sempadan negara itu bukan perkara mudah dan memerlukan pertimbangan menyeluruh dari semua aspek.
Mengulas lanjut, Hasni berkata, persetujuan membuka sempadan Malaysia-Singapura perlu dibuat secara bilateral, dan bukannya unilateral.
“Apabila bercakap soal sempadan ini (Malaysia-Singapura), kita perlu ambil pendekatan secara bilateral bukan unilateral, makna persetujuan antara kedua-dua negara perlu menjadi pertimbangan.
“Sekiranya (rakyat Malaysia di Singapura) perlu kembali bekerja di Singapura tidak menimbulkan masalah kepada pekerja dan kerajaan Singapura juga bersetuju bahawa mereka boleh balik dengan hanya perlu buat ujian seperti inisiatif VTL darat, maka Johor menyokong,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.