Tidak diwajibkan pemeriksaan suhu di premis pendidikan KPM

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tidak akan mewajibkan pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis institusi pendidikan di bawah kelolaan KKM mulai Jumaat ini.

KPM dalam satu kenyataan memberitahu, semua guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP), pekerja perkhidmatan sokongan dan pelawat masih lagi diwajibkan untuk mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera.

“Sebagai langkah keselamatan, ibu bapa penjaga dimohon untuk memastikan anak-anak jagaan berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala sebelum hadir ke sekolah.

“Murid yang bergejala atau mempunyai ahli keluarga yang disahkan positif Covid-19 serta tinggal serumah adalah tidak dibenarkan untuk hadir ke sekolah.

“Tahap kesihatan murid semasa berada di sekolah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan murid yang bergejala diasingkan di bilik isolasi untuk tindakan selanjutnya,” jelas KPM memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Kementerian itu berkata, ketetapan itu disaran turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM.

“KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya.

Selasa lalu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan pemansuhan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod mendaftar masuk ke mana-mana premis berkuat kuasa mulai 11 Februari.