Lima pegawai MARA buat laporan polis dakwa difitnah

LIMA pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang dikaitkan dengan isu integriti dan salah guna kuasa, membabitkan anak syarikat agensi itu, MARA Corporation (MARA Corp) tampil membuat laporan polis, hari ini.

Laporan itu dibuat mereka secara berasingan di Balai Polis Dang Wangi, pagi tadi.

Memetik laporan Berita Harian, kesemua mereka menafikan terbabit dalam perbuatan salah guna kuasa seperti yang dilaporkan dalam satu dokumen yang tular di media sosial, sejak kelmarin.

Dalam pada itu, mereka turut mendakwa individu yang menandatangani dokumen berkenaan melakukan fitnah terhadap mereka.

Seorang daripada mereka dalam laporannya, turut mendakwa mengesyaki individu yang menandatangani dokumen itu cuba mengalih perhatian Pengerusi MARA terhadap isu salah guna kuasa yang dilakukannya sendiri.

Dia mendakwa, pegawai MARA Corp mengesan satu isu dalaman membabitkan penanda tangan dokumen itu berkaitan penyalahgunaan kad kredit korporat syarikat.

Katanya, siasatan dijalankan sejak awal tahun lepas mendapati penanda tangan dokumen itu melanggar polisi penggunaan kemudahan dengan menggunakan kad kredit itu untuk aktiviti politik serta peribadi beliau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, mengesahkan menerima laporan polis berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Kertas Inkuiri Polis (KEP) dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut.

Kelmarin, tular di media sosial satu dokumen berbentuk sepucuk surat permohonan untuk melakukan siasatan terhadap lima pegawai tinggi MARA.

Pendedahan itu dibuat satu pemilik akaun Twitter menerusi ciapannya, yang turut melampirkan enam helai surat terbabit berhubung integriti pegawai MARA.

Surat bertarikh 30 Januari itu didakwa pemilik akaun Twitter terbabit, dihantar oleh Pengerusi Eksekutif MARA Corp, Datuk Suhaili Abdul Rahman kepada Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

Ekoran itu, Azizah dalam kenyataan, kelmarin, menafikan berlaku salah guna kuasa atau urus tadbir dalam agensi itu dan anak syarikatnya, seperti didakwa.

Beliau dipetik sebagai berkata, pihaknya tidak memandang ringan dakwaan itu dan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana individu terbabit dalam salah guna kuasa atau tidak berintegriti.

Katanya lagi, pihaknya juga memandang serius terhadap kejadian penyebaran dokumen pentadbiran dalaman kepada pihak awam sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap MARA dan anak syarikat berkaitan.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan, semalam memaklumkan akan memulakan siasatan berkenaan isu itu, esok.

“SPRM memandang serius dakwaan wujud isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan MARA yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi berkenaan.

“Susulan itu, SPRM telah menerima satu aduan berkaitan isu ini dan akan memulakan siasatan pada 7 Februari 2022 dengan mengambil keterangan beberapa saksi daripada MARA Corporation,” katanya. – SB