[VIDEO] Kemalangan maut 4 beranak: Pemandu Nissan Navara hadapi empat tuduhan bunuh

SEORANG lelaki yang memandu di bawah pengaruh dadah dan terbabit dalam kemalangan menyebabkan kematian empat beranak di Bentong, Pahang pada bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bentong pagi tadi, atas tuduhan membunuh kesemua mangsa.

Baca berita berkaitan: Pemandu akibatkan 4 sekeluarga maut akan dituduh atas kesalahan membunuh

Tertuduh, Ahamad Fuad Mohd Salleh, 44, turut berdepan dua lagi pertuduhan iaitu memiliki dan menggunakan dadah jenis methamphetamine seberat 0.75 gram, namun mengaku tidak bersalah.

Semua enam pertuduhan itu dikemukakan terhadap Ahamad Fuad, yang juga peniaga ikan dalam sangkar, kepada secara berasingan terhadap tertuduh di hadapan Majistret, Shahrul Ekhsan Hasim.

Bagi empat pertuduhan pertama, Ahamad Fuad didakwa membunuh Raihan Mohamad, 43, Dalili Mohd Nazri, 24, Ahmad Muaz Mohd Nazri, 7 dan Ahda Imtinan Mohd Nazri, 5.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Kilometer (km) 2, Jalan Lebu-Felda Mempaga, Bentong, Pahang pada 2.30 petang pada 28 Januari lalu.

Ahamad Fuad dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan namun tiada pengakuan direkodkan daripada Ahamad Fuad bagi empat pertuduhan itu.

Prosiding pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, S Punitha, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Farah Idayu Nusi.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 16 Mac ini untuk sebutan semula kes dan laporan kimia serta bedah siasat.

Terdahulu, seorang pemandu kereta Nissan Navara didapati positif dadah terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan empat sekeluarga yang dalam perjalanan mahu menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Lumpur.

Kemalangan berlaku di Jalan Lebu ke Mempaga berhampiran susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR). – SB