BRAZIL menyaksikan tahap penebangan hutan paling teruk pada Januari, dengan kira-kira 360 kilometer persegi hutan hujan Amazon musnah, menurut data yang dikeluarkan hari ini oleh institut penyelidikan angkasa lepas negara Brazil, INPE.
Ia bukan pertama kali tahap tertinggi kemusnahan hutan berlaku di bawah Presiden Jair Bolsonaro, yang sebelum ini telah digesa untuk mengurangkan perlombongan dan pertanian komersil di tanah hutan hujan yang dilindungi itu, lapor Agensi Anadolu.
Pada 2021, Amazon Brazil mengalami tahun terburuk dalam tempoh satu dekad. Penebangan hutannya meningkat 29 peratus dengan 10,363 kilometer persegi hutan asli musnah antara Januari dan Disember, menurut INPE.
Dari Ogos 2020 hingga Julai 2021, hutan hujan itu kehilangan 13,200 kilometer persegi tumbuh-tumbuhan, kawasan terbesar sejak 2006.
Pencinta alam sekitar bimbang jika tindakan itu berterusan, 2022 akan menjadi satu lagi tahun yang teruk untuk hutan Amazon Brazil.
Sejak Bolsonaro memegang jawatan pada 2019, kadar penebangan hutan Brazil meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh 12 tahun.
Walaupun kerajaan Bolsonaro telah berusaha pada November lalu di sidang kemuncak iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Glasgow, Scotland untuk menunjukkan bahawa ia melindungi Amazon dengan berikrar untuk menamatkan penebangan hutan secara haram menjelang 2028, data menunjukkan bahawa tiada usaha telah dibuat untuk menangani masalah itu. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.