Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
[VIDEO] Kerana kerja sempurna, pemuda buta ini dikatakan tipu cacat penglihatan -

[VIDEO] Kerana kerja sempurna, pemuda buta ini dikatakan tipu cacat penglihatan

HENDAK seribu daya, tak hendak seribu dalih. Meskipun cacat penglihatan, ia bukanlah jadi penghalang bagi sesetengah individu untuk mencari rezeki yang halal demi menyara diri dan keluarga.

Muhammed Rosli Asamari, 29, mampu mengilatkan tayar dan rim kereta walaupun kurang upaya penglihatan, malah hasil kerjanya sama seperti orang yang sempurna penglihatannya sehingga membuat pelanggan tidak percaya kepadanya.

Muhammed Rosli Asamari, 29, mengilatkan tayar dan rim kereta pelanggan.

Bercerita kepada SatuBerita, dia seringkali berjumpa dengan pelanggan yang tidak percaya akan dirinya yang cacat penglihatan dek kerana hasil kerja dan kelakuannya sama seperti insan biasa.

“Ada juga beberapa pelanggan yang macam tidak percaya keadaan saya cacat seperti ini, ada yang tidak percaya.

“Dia cakap “tipulah boleh buat kerja, boleh pegang telefon, tengok macam orang normal je”. Ada pelanggan yang macam tu.

“Mungkin dia (pelanggan) nampak saya berjalan dan bekerja seperti orang normal.

“Tapi saya tetap bersyukur, ada juga orang terima saya bekerja, walaupun kerja biasa-biasa, syukur ada kerja,” katanya ketika ditemui pada Rabu.

Terdahulu, pekerja buta ini tular di laman media sosial selepas pelanggan yang berpuas hati dengan mutu kerjanya memuat naik klip video tentang hasil kerja Muhammed Rosli yang menurut mereka lebih baik berbanding sesetengah individu sempurna penglihatan. 

Pemuda yang dilahirkan buta mata kiri, sementara mata kanan pula berpenglihatan terhad, kekal bekerja di pusat cuci kenderaan Mie Car Wash & Services di Taman Samudera, Gombak, Selangor, sejak 10 tahun yang lalu.

Bercerita lanjut, Muhammed Rosli berkata walaupun sukar untuk mencari kerja, dia tidak patah semangat kerana tidak mahu membebankan ibu bapa – Maina Sayadi, 62 dan Asamari Sainal, 69.

Menurutnya, walaupun mempunyai anggota badan lain yang sempurna, usahanya untuk mendapatkan pekerjaan sentiasa bertemu kegagalan.  

“Sokongan keluarga amat menggalakkan, kerana banyak keluarga beri nasihat, kerja elok-elok, buat elok-elok, jangan cari masalah.

“Dulu saya pernah cuba minta kerja lain, tetapi kebanyakan pekerja majikan lain tolak saya sebab saya Orang Kelainan Upaya (OKU). 

“Sebelum saya kerja di sini, ada bekerja di Pusat Cucian Kereta lain, tempat kerja yang lama muflis, tidak bertahan lama sebab ada masalah dengan rakan sekerja. 

“Kebetulan pula CarWash Abang Mie (majikan) kekurangan pekerja, saya cuba minta, Alhamdulillah dapat, sampai sekarang kerja di CarWash ini,” ujarnya.

Mie Car Wash & Services di Taman Samudera, Gombak, Selangor.

Muhammed Rosli berkata, dia berasa sangat gembira setiap kali dapat menghulurkan belanja bulanan kepada ibu bapanya dan berkongsi mengurangkan beban mereka yang sudah semakin berusia.

Bagaimanapun menurutnya, perancangan masa depannya adalah untuk berkhidmat di Pusat Cucian Kereta itu sehingga ia tidak beroperasi lagi.

Katanya, ia kerana dia sudah menganggap majikan dan rakan sekerjanya seperti ahli keluarganya sendiri kerana sering membantunya.

“Kalau ikutkan plan (perancangan), sampai bila-bila, selagi CarWash ini ada memang saya akan kerja di sini.

“Dah memang satu keluarga, kawan-kawan di sini pun baik, banyak bantu saya,” katanya.

Berkongsi pengalaman kerjanya, Muhammed Rosli mengakui dia mengambil masa yang agak lama untuk mahir, namun majikan serta rakan sekerja sentiasa membantu, sekali gus memudahkan dia untuk belajar dan menambah baik kemahiran.

Dalam pada itu, Muhammed Rosli berharap majikan di luar perlu memberi peluang pekerjaan kepada golongan OKU agar mereka dapat menyara hidup seperti individu sempurna fizikal yang lain.

“Harapan untuk majikan-majikan yang susah nak terima OKU ini, cubalah ambil mereka, tengok dulu cara mereka bekerja, keupayaan mereka, jika sesuai, teruskan ambil kerja. Jangan pandang rendah. 

“Pesanan saya untuk OKU di luar sana yang tiada pekerjaan, jangan berputus asa, cuba sedaya upaya mana yang boleh, jangan paksa diri, jika ada kesempatan untuk sambung belajar, sambung belajar, untuk melangkah kehadapan,” katanya.

Pemilik Mie Car Wash & Services, Suhaimi Abdullah, 50.

Begitu juga dengan pemilik Mie Car Wash & Services, Suhaimi Abdullah, 50, yang tidak mahu golongan OKU dipandang rendah kerana setiap daripada mereka mempunyai kemahiran yang sama seperti insan biasa.

“Kepada majikan di luar sana, kalau boleh tengoklah kemampuannya, apa kerja yang boleh dibuat, ambillah dia bekerja, bantulah dia, dia pun insan biasa macam kita semua, dia nak hidup macam golongan normal juga.

“Seperti Rosli, mata sahaja tidak nampak, tetapi tangan, kaki, boleh guna untuk buat kerja,” katanya ketika ditemui SatuBerita.

Tambah Suhaimi, insan seperti Rosli yang dianggap seperti keluarganya sendiri, bukan sahaja rajin bekerja, tetapi mempunyai motivasi yang tinggi untuk terus membuktikan keupayaannya bekerja tanpa mengeluh.

“Saya tengok dia ada kehendak nak bekerja, ada kemahuan bekerja, kita ajar dia, dia cepat boleh ikut cara kerja kita. Dia bersungguh, dia rajin, tiada masalah bagi saya.

“Memandangkan Rosli pernah bekerja di CarWash, dia ada pengalaman sikit, dia bekerja dengan saya, lebih kurang 2 tahun, dia mahir sepenuhnya,” jelasnya.

Abangnya, Rofi Arisandi, 37.

Perjalanan pergi dan pulang bekerja menjadi tanggungjawab abangnya, Rofi Arisandi, 37, yang berbangga melihat adiknya mampu berdikari dan menyara diri sendiri.

Menurut Rofi, adiknya cacat penglihatan di mata sebelah kanan namun mata di sebelah kiri yang sebelum ini hanya kabur, sekarang menjadi lebih terhad penglihatannya.

“Rosli yang doktor sahkan memang buta dari lahir, mata sebelah kiri, di sebelah kanan pula kabur dan rabun. Menurut Doktor, risiko tinggi jika membuat pembedahan.

“Doktor sahkan mata di sebelah kanan memang tak nampak dah, memang terhad untuk Rosli melihat. Jika dulu boleh pakai cermin mata, macam sekarang langsung tak nampak,” jelasnya.

Bagaimanapun kata Rofi, dia berharap insan seperti Rosli tidak berputus asa namun teruskan melangkah kehadapan dalam apa jua keadaan.

“Jangan cepat putus asa, teruskan kuat semangat, dalam apa jua keadaan, jangan cepat putus asa dan mengalah, teruskan melangkah,” katanya. – SB