Langgar kuarantin cari capaian Internet cetus kluster baharu

KLUSTER Paka Kawiyan yang sehingga kini dikenal pasti menjangkiti 41 individu termasuk 13 kes baharu dipercayai berpunca daripada tindakan seorang wanita berinteraksi dengan penduduk kampung ketika cuba mendapatkan akses internet di sebuah kebun getah di Ranau.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, kes indeks kluster berkaitan komuniti itu yang berumur 32 tahun dikesan positif COVID-19 hasil saringan rentas negeri pada hari ke-10 kuarantin, baru-baru ini.

“Sepanjang tempoh kuarantin, kes indeks berinteraksi dengan penduduk kampung di sebuah kawasan kebun getah ketika cuba mendapatkan akses liputan internet.

“Daripada 132 orang yang disaring, kluster ini merekodkan 41 kes positif COVID-19 termasuk 13 kes baharu pada hari ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kluster Paka Kawiyan adalah antara tiga kluster baharu COVID-19 yang dilaporkan di Sabah semalam, dengan dua lagi masing-masing berkaitan komuniti dan tempat kerja iaitu Kluster Tangkuyan, Kinabatangan dan Kluster Segama Batu Satu di Lahad Datu.