GOLONGAN peniaga, terutama penjaga dan peniaga kecil berharap kerajaan dapat memberikan bantuan terutama sokongan modal untuk kembali memulakan perniagaan mereka yang terjejas terus akibat pandemik Covid-19.
Mereka menyambut baik keputusan kerajaan membuka semula 11 sektor ekonomi sebagai usaha pemulihan ekonomi tetapi, pada masa sama mahu kerajaan meneliti kesukaran rakyat untuk kembali mencari rezeki.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja Dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed, adalah antara yang menyokong langkah kerajaan membuka sektor ekonomi secara berperingkat.
“Peniaga Kecil akan dapat menarik nafas lega kerana punca rezeki yang terhenti selama ini dapat mengalir semula dalam mengharungi cabaran hidup, terutama di bandar besar yang kian mencabar.
“Sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan perniagaan ditutup, ramai peniaga cuma bergantung kepada duit simpanan untuk hidup. Memang kerajaan ada memberi bantuan tetapi tidak cukup. Sebab itulah mereka perlu modal sokongan untuk kembali berniaga,” katanya kepada SatuBerita.My.
Mengulas lanjut, beliau berharap lebih banyak pelan atau dana pemulihan dapat disalurkan ke peringkat bawahan terutama peniaga kecil.
Hakikat itu disokong peniaga barangan rumah dan peralatan dapur, Noorfadzilah Abdul Basir yang berharap, pengumuman itu dapat membantu memulihkan ekonomi keluarga dan negara.
“Sepanjang PKP, saya hanya dapat menjalankan perniagaan secara dalam talian. Hasil yang saya perolehi amat berkurangan, sedangkan saya terpaksa membayar sepenuhnya sewa kedai dan utiliti yang lain seperti bil elektrik dan bil air dengan bayaran yang penuh,” katanya.
Namun, pada masa dia turut merasa bimbang wabak Covid-19 akan kembali merebak dengan lebih pantas jika ramai yang gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Sebagai peniaga, saya juga pastinya akan mematuhi SOP yang diberikan kerana saya juga ingin megelakkan perkara yang tidak diingini berlaku kepada pelanggan saya.”
Sementara itu, seorang pekerja premis menjual pakaian, Foong Qin Yi masih ragu-ragu dengan keputusan kerajaan itu kerana baginya, situasi terkini masih berbahaya kerana terdapat varian baru Covid-19.
“Pembukaan semula 11 sektor ini adalah baik untuk ekonomi di Malaysia, tetapi pada masa yang sama juga kita merisikokan diri sendiri dengan virus di luar sana.
“Tambahan pula, terdapat varian baru di luar sana yang agak berbahaya,” katanya yang bersimpati dengan nasib petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus setiap hari menangani kes Covid-19.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.