DANIEL Iskandar, remaja yang sebelum ini menjadi buah mulut orang ramai kerana dimandikan bagai jenazah kerana mencuri duit tabung sebuah masjid di Rawang boleh dikatakan mempunyai nasib yang agak baik.
Dia yang sebelum ini telah dijatuhkan hukuman penjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di Selangor terlepas hukuman itu ke atas ihsan Mahkamah Tinggi.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Abd Halim Ama pada Isnin telah memutuskan untuk mengetepikan hukuman digantikan dengan khidmat masyarakat bawah program Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di masjid selama 120 jam sepanjang tempoh enam bulan lapor Berita Harian.
Sebelum ini, Daniel yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti ‘jenazah’ akibat cuba mencuri tabung masjid, dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di Selangor.
Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Daniel, 19, selepas dia mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan di Kuang, Rawang dekat sini pada 11.58 malam, 8 Januari lepas.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang tidak bekerja itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 9 Januari lepas dan dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda itu.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian pengadu yang merupakan siak di masjid itu telah pergi ke masjid dan mendapati tabung masjid tiada.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang remaja lelaki telah merosakkan tabung masjid sebelum mengheret dan menyembunyikan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah.
Pengadu bersama ahli jawatankuasa masjid mengesyaki remaja lelaki itu tinggal berdekatan masjid dan apabila mereka membuat rondaan di sekitar kawasan itu, mereka ternampak seorang individu yang sama dengan rakaman CCTV lalu menghampirinya dan bertanya adakah dia memecah masuk dan mencuri tabung masjid berkenaan.
Remaja itu kemudiannya mengaku bahawa dia melakukan perbuatan itu menyebabkan ahli jawatankuasa masjid menangkapnya dan menghubungi pihak polis.
Media sebelum ini melaporkan, seorang remaja lelaki tular dalam media sosial apabila video berdurasi satu minit 25 saat memaparkan tindakan jemaah masjid memandikan lelaki itu seperti jenazah serta dia dilumurkan dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.