POLIS menahan seorang lelaki disyaki kurang siuman kerana dipercayai membakar kediamannya di Blok 8, Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di ibu negara, sebelum kebakaran merebak ke dua unit lain, semalam.
Kebakaran membabitkan tiga unit rumah di nombor 1, 2 dan 3 di tingkat empat blok rumah pangsa berkenaan.
Ketika polis tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 4.30 petang, kebakaran sudah dipadamkan sepasukan anggota bomba bersama enam jentera.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata berdasarkan maklumat, berlaku pergaduhan keluarga di unit nombor 1 yang mana seorang penghuni iaitu lelaki tempatan berusia 38 tahun dipercayai membakar kediamannya sendiri.
“Kebakaran itu merebak ke dua unit bersebelahan sebelum api dapat dikawal daripada terus merebak dan seterusnya dipadamkan oleh pihak bomba,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Katanya, suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Wangsa Maju untuk tindakan lanjut.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kebakaran itu yang mengakibatkan kemusnahan 90 peratus.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba yang menerima panggilan kecemasan pada jam 4.06 petang, menggerakkan 44 anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju, BBP Keramat, BBP Setapak dan BBP Hang Tuah ke lokasi.
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Daniel Ahmad Kamal, berkata setibanya pasukan di lokasi pada jam 4.15 petang, api sedang marak di unit kediaman terbabit.
“Kebakaran membabitkan kediaman berkeluasan 12 x 12 meter persegi setiap satu dengan unit kediaman pertama musnah sepenuhnya, manakala sebuah lagi musnah kira-kira 60 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.