Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Op Benteng di bawah NTF tamat Jun ini - Hamzah -

Op Benteng di bawah NTF tamat Jun ini – Hamzah

PENGOPERASIAN Operasi Benteng (Op Benteng) di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) akan ditamatkan pada Jun ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin. 

Beliau berkata, segala pelaksanaan dan perancangan baharu berhubung operasi berkenaan akan kembali diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan seterusnya. 

“Inilah sebabnya saya perlu maklumkan kepada semua supaya kami akan lebih bersedia kerana buat masa ini pelbagai kementerian telah terlibat bersama KDN dalam NTF. 

“Setelah Op Benteng diterajui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini berakhir, ia akan kembali semula kepada kami (KDN) dan usaha memastikan Op Benteng sentiasa ke hadapan akan dibuat,” katanya dalam sidang media Majlis Perhimpunan Bulanan KDN dan Amanat Tahun Baharu 2022 di Kompleks KDN, di Putrajaya pada Khamis.

Hamzah berkata, bukan sesuatu yang baharu untuk KDN kembali mengambil alih hal berkaitan pengoperasian Op Benteng berkenaan.
 
Menurutnya, walaupun NTF bakal berakhir pada Jun ini, operasi Gasak Laut dan Darat akan diaktifkan semula bertujuan mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan.

“Selain itu, bagi memperkasakan kawasan perairan Sabah inisiatif pelantikan polis bantuan oleh pengusaha resort akan dilaksanakan. Usaha ini dilihat dapat membantu penguatkuasaan di lokaliti dan meningkatkan rasa selamat penduduk setempat.

“Bagi tujuan ini, sesi libat urus akan dilaksanakan bersama pengusaha resort bagi memastikan inisiatif ini dijalankan dengan sebaiknya,” katanya.

Pada Disember lepas, Bernama melaporkan Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang menyatakan bahawa keputusan mengekalkan NTF yang diterajui pasukan keselamatannya itu akan diketahui pada pertengahan tahun ini.

Menurut Affendi NTF ditubuhkan secara ad hoc dan terbukti keberkesanannya dalam mengekang kemasukan pendatang tanpa izin menerusi Op Benteng sejak negara dilanda pandemik Covid-19. – Bernama


  •