TAMAN Sri Muda yang ditimpa banjir teruk sebelum ini kini sudah pulih apabila air tidak lagi bergenang di kawasan-kawasan terjejas malah cuaca cerah turut menerangi penempatan yang terletak dekat Seksyen 25 itu.
Namun, masalah lain pula timbul apabila Asmawi Zakaria, 48, yang merupakan penduduk di Taman Seri Muda cuba membuat aduan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkaitan dengan masalah papan pada meter elektrik di rumahnya yang tercabut dan terjatuh dari tempat asalnya namun jawapan dari pihak TNB seolah-olah ingin lepas tangan.

Menurut Asmawi, selepas beliau membuat aduan tentang masalah yang dihadapi, pihak TNB telah menghubunginya untuk mendengar penjelasan berkenaan masalah itu namun TNB menyatakan bahawa ianya bukan tanggungjawab mereka.
“Ada seorang pegawai hubungi saya selepas saya buat aduan, dia kata ini bukan tanggungjawab TNB dan meminta saya untuk hubungi kontraktor untuk rujuk tentang hal ini.
“Tapi saya tidak diberitahu kontraktor mana yang patut saya hubungi, sekurang-kurangnya bila saya tanya kontraktor mana yang saya boleh hubungi, pihak TNB patut cadangkan kontraktor-kontraktor bertauliah dari TNB.” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Tambahnya, walaupun ianya merupakan tanggungjawabnya sebagai tuan rumah untuk menghubungi kontraktor, sekurang-kurangnya pihak TNB dapatlah membantu sedikit.
Asmawi turut menyatakan bahawa dia melihat papan meter yang terjatuh itu boleh mendatangkan bahaya sekiranya berlaku litar pintas.
Ekoran itu, Asmawi mengharapkan pihak TNB dapat datang melihat dan menilai serta memberi pendapat kepada dirinya terutamanya memberikan cadangan kontraktor yang patut dihubungi supaya dapat membantu menyelesaikan masalah ini.
“Saya boleh je upah orang luar untuk membantu tapi meter tersebut melibatkan sambungan ke wayar-wayar utama yang mungkin berkapasiti elektrik yang besar.
“Jadi hal ini tak boleh dibuat oleh orang sebarangan yang tidak mahir,” jelasnya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.