KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan menggantikan sejumlah 263,662 buku teks rosak akibat banjir, baru-baru ini, yang membabitkan 14,422 murid di seluruh negara.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, berkata KPM mempunyai stok yang mencukupi bagi menggantikan buku teks yang rosak akibat bencana alam itu.
Kata Radzi, ia sekali gus akan membolehkan murid berkenaan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dijadualkan bermula minggu depan.
“Kita sedar bahawa dalam tempoh banjir besar yang kita lalui, ramai murid yang terjejas. KPM menerima banyak pertanyaan mengenai buku teks murid yang rosak akibat banjir.
“Jadi kepada murid yang kehilangan buku teks atau buku mereka rosak akibat banjir, jangan risau.
“Mereka juga tidak perlu membayar ganti rugi atas kerosakan buku teks berkenaan mahupun menggantikan buku itu,” katanya melalui satu rakaman video menerusi Facebook rasmi beliau, pada Jumaat.
Menurut Radzi, guru akan merekodkan jumlah buku teks yang rosak akibat banjir dan memastikan usaha menggantikannya dapat dilaksanakan segera.
Katanya, ia bagi membolehkan sesi persekolahan yang bermula minggu depan, dapat berjalan dengan teratur dan lancar.
“Semoga anak-anak yang terjejas dengan banjir dapat mengharungi tempoh sukar ini dan kembali ke sekolah apabila sekolah dibuka semula kelak,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.