KERAJAAN akan mewujudkan pasukan tindakan khas (task force) bagi menggubal sistem komunikasi dan mewujudkan sistem amaran awal bencana yang lebih pantas dan berkesan kepada rakyat.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersama agensi terlibat, termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Jemaah Menteri berpandangan bahawa sistem komunikasi dan penyampaian maklumat akhir kepada rakyat perlu diperbaiki.
“Sebab itu kita akan baiki sistem termasuk mengguna pakai konsep sistem pesanan ringkas (SMS) ‘blasting’ supaya di kawasan terkesan dapat kita sampaikan amaran awal secara tepat dan cepat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 KKMM di Angkasapuri hari ini.
Terdahulu dalam amanatnya, Annuar mengaku terdapat kelemahan dalam kaedah penyampaian maklumat yang pantas semasa kecemasan ketika ini.
Namun menurutnya, teguran dan kritikan perlu dijadikan asas untuk memperbaiki prestasi dan mencari jalan serta ikhtiar memastikan sistem penyampaian maklumat dapat diterima rakyat. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.