PIHAK polis tidak menolak dan menyiasat kemungkinan penglibatan sindiket di sebalik peminta sedekah dalam kalangan kanak-kanak etnik Rohingya yang tular baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, semua kemungkinan itu akan diteliti menerusi siasatan dan pengumpulan risikan.
“Ada kemungkinan sindiket tetapi kita akan menyiasat dan cuba mengumpul risikan,” katanya pada sidang media selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Kedah baharu, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad.
Razarudin turut menegaskan akan mengarahkan semua kontinjen dan polis daerah bagi memantau aktiviti meminta sedekah terutamanya di kawasan lampu isyarat
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa sesiapa sahaja masih tertakluk di bawah undang-undang negara sekiranya melakukan kesalahan termasuk pesalah yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Sebenarnya kita boleh mengambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan dan Akta Kesalahan Kecil.
“Undang-undang di sini tidak tertakluk kepada warganegara Malaysia sahaja tetapi juga terpakai kepada sesiapa yang melakukan kesalahan,” ujarnya.
Menerusi hantaran Facebook Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Rabu, menegaskan pihak polis berkuasa untuk menahan dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan jenayah dan melangga undang-undang.
Menurut Hamzah, perkara itu tidak kira sama ada pesalah merupakan warganegara, penduduk atau warganegara asing termasuk pemegang kad UNHCR.
Terdahulu, kanak-kanak yang dipercayai etnik Rohingya tular di media sosial pada Isnin apabila meminta sedekah di persimpangan jalan raya dengan mengetuk cermin tingkap kereta dan seolah-olah mengugut untuk diberikan wang, tidak ubah seperti lagak ‘gangster’.
Tinjauan SatuBerita di sekitar kawasan kebiasaan mereka meminta sedekah di Kuala Lumpur dan Cheras mendapati orang ramai kurang senang dengan tindakan itu kerana bimbang akan keselamatan peminta sedekah berkenaan serta pengguna jalan raya lain.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.