Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
JUMLAH mangsa banjir di Johor melibatkan tujuh daerah terus meningkat kepada 3,841 orang pada jam 8 pagi 3,665 pada jam 4 pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R. Vidyananthan memberitahu, jumlah berkenaan melibatkan 1,008 keluarga yang kini ditempatkan di 62 pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut beliau, mangsa banjir paling ramai adalah dari Segamat melibatkan 3,178 daripada 828 keluarga.
Selain itu katanya, Mersing menjadi daerah terbaharu di Johor dilanda banjir melibatkan 366 orang daripada 90 keluarga yang dipindahkan ke enam PPS bermula jam 6 petang semalam.
“Mangsa banjir itu antaranya dari Kampung Che Wok, Kampung Sri Pantai, Kampung Orang Asli Peta, Kampung Tenglu Besar, Kampung Tenglu Laut, Kampung Air Papan Tengah, Kampung Air Papan, Kampung Sawah Dato, Kampung Lubuk, Kampung Pengkalan Batu dan Kampung Jemari.
“Mereka dipindahkan ke PPS di Balai Raya Sri Pantai, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Pantai, Kompleks Taman Negara Endau-Rompin, SK Tenglu, SK Air Papan dan Politeknik Mersing sejak 6 petang semalam hingga 11 malam tadi.
“Selain itu terdapat juga pertambahan mangsa banjir di beberapa daerah lain seperti di Mersing dan Kluang manakala mangsa banjir di Tangkak, Kota Tinggi dan Johor Bahru masih sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tiga jalan ditutup di Segamat untuk semua kenderaan melibatkan Jalan Putting ke Kampung Putting, Jalan Tumang ke Tumang dan Jalan Kuala Balai Badang ke Kampung Balai Badang.
Sementara dua jalan di daerah itu katanya, melibatkan Jalan Felda Medoi ke Surau Kampung Logah dan Jalan Jabi Kampung Bukit Tempurung ke Kampung Bukit Tempurung dibuka untuk kenderaan berat sahaja.
Di Mersing pula katanya, jalan ke Kampung Orang Asli Peta dan Kampung Orang Asli Punan masih ditutup untuk semua kenderaan. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.