Mangsa banjir Selangor dikecualikan bayar bil air untuk bulan hadapan- Air Selangor

PENGURUSAN Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) mengecualikan pembayaran bil air bagi bulan Januari 2022 kepada pengguna-pengguna yang terjejas ekoran bencana banjir baru-baru ini.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Basri berkata, pengecualian bayaran bil berkenaan merupakan sebahagian daripada program Bantuan Selangor Bangkit (BSB) yang telah diumumkan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada Selasa.

“Air Selangor juga melanjutkan pengecualian pembayaran bil air itu kepada pelanggan Akaun Domestik yang terjejas di Kuala Lumpur.

“Pelanggan di kawasan yang dilanda banjir akan menerima pengecualian sebulan pada pembayaran bil air secara automatik, dan mereka tidak perlu mengisi atau menyerahkan sebarang borang kepada Air Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, bil air bulanan akan terus dikeluarkan oleh Air Selangor sepanjang tempoh pengecualian pembayaran bil tersebut, namun pelanggan yang layak menerima pengecualian bayaran bil air tidak perlu membuat bayaran untuk tempoh yang ditetapkan.

“Air Selangor memahami kesusahan yang dialami oleh pelanggan kami yang terjejas akibat bencana banjir. Kami mengharapkan pengecualian pembayaran bil air ini sedikit sebanyak mengurangkan beban mereka,” ujarnya.

Tambahnya, pelanggan boleh menghubungi Air Selangor menerusi talian 15300 atau menerusi aplikasi Air Selangor, atau media sosial mereka seperti Facebook, Instagram dan Twiter untuk maklumat lanjut.

“Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh dihantar menerusi laman sesawang www.airselangor .com dan juga aplikasi Air Selangor,” katanya.–SB