Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
TNB rugi RM2 juta angkara perbuatan curi elektrik untuk lombong bitcoin -

TNB rugi RM2 juta angkara perbuatan curi elektrik untuk lombong bitcoin

SATU sindiket yang mencuri elektrik bagi aktiviti perlombongan bitcoin terbesar di sekitar daerah Manjung, Lumut, Perak tumpas semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sindiket itu ditumpaskan dalam Operasi Bersepadu khas yang dijalankan selama 13 jam bermula pukul 9 pagi.

Jelasnya, operasi itu melibatkan 154 pegawai dan anggota polis dibantu 15 juruteknik khas Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta enam anggota bomba.

“Sebanyak 30 rumah kedai diserbu dan 1,720 mesin bitcoin bernilai RM3.5 juta dirampas. Seorang lelaki berusia 28 tahun disyaki penjaga premis turut ditahan dalam operasi itu.

“Lelaki berkenaan direman selama empat hari untuk membantu siasatan. Dalam operasi itu, polis turut merampas pelbagai barangan antaranya 15 monitor, 22 unit pemprosesan pusat (CPU), 56 modem, sebuah komputer riba dan tujuh kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Lumut, hari ini yang turut dihadiri Pengurus TNB Perak, Mohd. Toha Abdul Manaf.

Mengulas lanjut, Mior Faridalathrash berkata, aktiviti mencuri sumber elektrik itu menyebabkan TNB mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM2 juta.

Katanya, sindiket itu didapati menyewa di premis yang terlindung daripada orang ramai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang di sebalik kegiatan itu termasuk pemilik premis.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya.

Beliau menggesa orang ramai melaporkan sebarang kegiatan melombong Bitcoin secara haram kepada pihak polis untuk diambil tindakan.