[VIDEO] Hanya 7 petugas urus 500 jemaah pakai peranti ‘tracker’?

HANYA tujuh petugas disediakan pihak berwajib di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengurus proses jemaah umrah memakai peranti pengesanan digital, dakwa Zulkifli Mohamed.

Hal itu ujarnya menyebabkan proses bagi seorang jemaah umrah mendapat peranti pengesanan digital mengambil masa sehingga lima jam.

Menurut Zulkifli, keadaan itu juga menyebabkan ada jemaah yang hilang sabar terhadap pengurusan pihak berwajib yang mengarahkan tujuh orang sahaja untuk menguruskan ketibaan 500 orang jemaah.

Menerusi satu video tular berdurasi seminit 34 saat yang dimuat naik Zulkifli, kelihatan jemaah mempertikaikan pengendalian proses pemakaian pengesan digital.

Dalam video berkenaan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turut kelihatan berada di lokasi.

“Percubaan pertama dari kerajaan dan KKM untuk pakaikan jam tracker tu terlalu lama sangat, 5 jam menunggu sahaja,” tulis Zulkifili di ruangan komen.

Video tersebut menunjukkan sekumpulan jemaah umrah yang terlampau ramai di dalam sebuah ruang menunggu tanpa penjarakan sosial.

Bagaimanapun, pemilik video tersebut turut menjelaskan bahawa dia tidak mempertikaikan SOP pemakaian peranti pengesanan digital tersebut tetapi berang terhadap pengurusan pihak berwajib.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam sidang media pada Sabtu memaklumkan individu yang menjalani tempoh kuarantin wajib memakai gelang peranti pengesanan digital susulan peningkatan kes varian Omicron.

Kata Khairy, pelaksanaan itu dibuat berikutan terdapat 30 daripada 49 varian Omicron di Malaysia yang dikesan pada 23 dan 24 Disember lalu adalah kes import dari Arab Saudi. – SB