YAYASAN Dakwah Islamiah (Yadim) dan 130 rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam lain dalam Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) menggesa semua pihak menghentikan agenda bertelagah dan berebut kuasa.
Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan berkata, tindakan itu bukan sahaja merugikan rakyat dan memecah belahkan negara, malah memalukan negara pada pandangan pihak luar.
“Yadim menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menyeru semua pemimpin di negara ini, supaya menginsafi bahawa segala kuasa pemerintahan itu adalah hak Allah.
“Titah baginda bahawa semua pemimpin perlulah jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan, dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah juga perlu diberikan perhatian semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nasrudin berkata, pada masa sama titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah bahawa ketika ini bukan masa sesuai untuk berebut kuasa dan bersengketa sesama sendiri ketika negara bergelut dengan pandemik Covid-19 adalah sangat tepat dan perlu dijunjung semua.
Katanya, jika Raja-Raja Melayu sendiri sudah bersuara kerana prihatin dan khuatir dengan keadaan semasa, maka amat wajarlah semua pihak di negara ini mendengar dan taat kepada titah mereka.
Nasrudin berkata, semua pemimpin negara perlu memberikan keutamaan tertinggi kepada isu keselamatan dan kesihatan rakyat dan bukannya berebut kuasa bermusuhan sesama sendiri.
Jelas beliau, pemimpin yang bercakaran menghabiskan lebih banyak masa dan tenaga untuk kepentingan sendiri hingga tanggungjawab membela rakyat semakin diabaikan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.