[VIDEO] Tak kisah kereta apa, yang penting segera bantu mangsa banjir

PERIKEMANUSIAAN dan keihsanan tidak diukur pada pangkat dan harta. Selagi mana boleh membantu dengan cara apa sekalipun, itulah yang sepatutnya kita lakukan.

Antara contoh terbaik yang dapat kita lihat dalam bencana banjir yang melanda lembah Klang sejak Sabtu lalu ialah seorang usahawan, Datuk Seri Sunny Ung yang juga merupakan salah seorang pengumpul kereta mewah di Malaysia.

Semangatnya untuk membantu begitu menebal sehingga tidak mempedulikan apa yang akan terjadi kepada kereta mewah jenis Brabus G700 6×6 miliknya yang digunakan untuk meredah air dan selut untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar Taman Sri Muda, Shah Alam.

Ketika dihubungi SatuBerita, Sunny memberitahu bahawa dirinya tidak berfikir panjang untuk mengeluarkan jentera pacuan enam roda itu demi keutamaan dan keselamatan mangsa yang terjejas.

“Tiadalah saya kena fikir panjang, saya rasa saya nak tolong, saya bawa sahaja kereta saya yang besar ni sebab kereta ni boleh redah air. Tiada risau dia tersangkut ke apa. Saya ada kereta ini, jadi bawa sahajalah kereta ini, itu sahaja.

“Saya juga pergi dengan rakan-rakan yang lain. Jadi, banyak juga lah kita dapat bantu untuk bawa orang keluar, bawa makanan masuk ke kawasan yang terjejas dan sebagainya. Bukan saya seorang sahaja,” katanya.

Menurutnya, dia sudah pun turun padang bagi membantu mangsa-mangsa banjir di sekitar Taman Sri Muda, Shah Alam sejak hari pertama kawasan itu dilanda musibah banjir dan sedang dalam perjalanan menuju ke Karak bagi membantu mangsa di sana.

Melibatkan diri di dalam bantuan secara amal dan memberikan bantuan serta menderma bukanlah sesuatu yang asing bagi dirinya.

Katanya, dirinya telah melibatkan diri di dalam kerja amal selama 15 tahun yang memberikan perhatian untuk membela nasib anak-anak yatim.

“Buat masa sekarang ini, saya ada seramai 260 anak-anak yatim di bawah jagaan anak yatim yang mana 90% adalah Melayu. Saya memfokuskan untuk membantu mereka dalam segi pembelajaran kerana ramai yang tidak mampu pergi ke sekolah dan sebagainya.

“Jadi kalau masalah-masalah yang melibatkan banjir dan bencana alam ini, kalau ada ruang dan peluang saya akan turun padang dan akan buat sekadar yang saya mampu,” ujarnya lagi.

Tambahnya, dana-dana untuk menjalankan misi bantuan mangsa banjir ini juga turut ditaja oleh dirinya sendiri serta memaklumkan akan meneruskan kerja amalnya ini sehingga keadaan banjir di kawasan-kawasan sekitar kembali reda.

Menurutnya, dia tidak sangka tular di laman Twitter apabila orang ramai memuji tindakannya yang selamba menggunakan jentera mewah untuk meredah banjir kerana dengan penuh rasa rendah diri, beliau menjelaskan dirinya tidak begitu gemar untuk menunjuk-nunjuk dan bersyukur dengan komen positif yang ditinggalkan netizen.

“Pesanan dari saya adalah, kita tidak boleh tolong semua orang, tetapi semua orang boleh tolong seseorang. Walaupun kita tiada duit untuk memberi sumbangan, kita juga boleh mengerahkan kudrat untuk bantu mereka yang berada dalam kesusahan,” katanya.–SB