Tanggung kerugian akibat banjir, Ezad Lazim reda

BERAT dugaan yang dilalui oleh Ezad Lazim apabila turut menjadi mangsa banjir yang melanda di kebanyakan kawasan di Selangor baru-baru ini.

Dia yang menetap dia Sepang turut berhadapan dengan bencana banjir yang menenggelamkan sebahagian rumah sebuah kereta milik isterinya.

“Sebenarnya saya ada persembahan di Kedah dan patut pulang pada hari Sabtu tersebut. Tapi apabila sampai sahaja air sudah naik dengan cepat.

“Tak sempat nak tengok keadaan rumah macam mana. Tak tahu apa yang berlalu dan saya hanya mendapatkan maklumat daripada jiran sahaja,” kata penyanyi yang berusia 42 tahun ini.

Jelasnya, dia yang sekarang menumpang dia rumah ibu mertuanya yang terletak di Seri Kembangan masih belum dapat mengagak jumlah kerugian yang ditanggung.

Antara barangan yang tidak dapat diselamatkan termasuklah alatan muzik dan peralatan studio selain beberapa kelengkapan rumah dan barangan sekolah anak-anak.

Terdahulu, Ezad berkongsi perkara berkenaan di laman sosial miliknya bersama beberapa keping gambar yang dikongsikan oleh jiran-jirannya.

Pun begitu, meskipun menanggung sejumlah kerugian, dia bersyukur kerana mereka sekeluarga selamat dan tidak berhadapan dengan masalah terperangkap seperti mangsa yang lain.

“Siapa tak sedih bila dapat tahu rumah ditenggelami banjir tapi lama kelamaan saya reda.

“Orang lain lebih teruk menghadapi banjir kali ini berbanding dengan saya. Saya anggap ini adalah ujian dan dugaan buat kami sekeluarga,” tambahnya.