PERSATUAN Ulama Malaysia (PUM) menyeru seluruh rakyat Malaysia terutama pemimpin parti-parti politik untuk menghormati titah nasihat yang disampaikan oleh Raja-Raja Melayu demi kestabilan pentadbiran negara.
Yang di-Pertua PUM, Dato’ al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, rakyat sudah bosan dengan gelagat para pemimpin politik yang saban hari memikirkan untuk melakukan tindakan untuk mendapatkan kuasa, dengan pelbagai cara termasuklah ada yang menarik sokongan kepada Perdana Menteri dan seumpamanya.
“Perlu diingatkan agar setiap tindakan yang dilakukan mestilah selaras dengan undang-undang yang ada,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Tambah Abdul Halim Abdul Kadir, seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa Perdana Menteri telah secara terbuka menyatakan akan melakukan undi percaya di parlimen pada September ini.
“Jadi kenapa perlu untuk mendesak sedangkan komitmen telah dinyatakan dengan jelas?
“Hormatilah ruang yang diberikan di mana Perdana Menteri yang begitu terbuka menyatakan untuk mendapatkan keabsahan sokongan terhadapnya ditentukan di parlimen,” kata Abdul Halim.
Menurut beliau, pemimpin parti-parti politik seharusnya memikirkan tentang kemaslahatan rakyat terutamanya apabila berlakunya kes-kes kematian Covid-19.
Tambahan pula, beberapa pelan untuk memulihkan keadaan ekonomi telah diperkenalkan untuk menjamin kesejahteraan negara dan rakyat.
“Hentikan pergeseran merebut kuasa, PUM mengesyorkan agar parti-parti politik dalam kerajaan PN dan parti-parti pembangkang untuk kembali ke meja rundingan bagi sama-sama membantu membangun negara.
“Bukannya terus bersengketa merebut kuasa, kerana perbalahan itu boleh meruntuhkan negara,” ujar beliau.
Terdahulu, Sultan Johor menzahirkan rasa kecewa baginda terhadap pemimpin parti politik yang sentiasa memberi tekanan untuk merebut kuasa dengan cara yang sedikit sebanyak menganggu pentadbiran kerajaan.
Manakala, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah juga turut menzahirkan perkara sama dengan menegaskan, kini bukanlah masa yang sesuai untuk bersengketa sesama sendiri ketika negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.