PROGRAM Podium di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) akan diteruskan untuk tahun hadapan, namun jumlah atlet terlibat akan dikurangkan, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Beliau berkata, pengurangan jumlah atlet terpaksa dibuat kerana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerima peruntukan yang kecil berbanding tahun-tahun sebelumnya, untuk melaksanakan program latihan sepenuh masa bagi atlet tempatan.
“Dengan apa yang kita ada, kita akan lakukan mengikut kemampuan kita, menyebabkan kita tidak dapat memberi latihan kepada lebih 400 atlet yang sedang berkampung di MSN.
“Jumlahnya (atlet) perlu dikurangkan dan kita perlu memilih mereka yang benar-benar ada potensi untuk merangkul kejuaraan dan membawa pulang pingat,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Pentauliahan Emas Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) 2021, d Kuala Lumpur pada Khamis.
Ahmad Faizal berkata, meskipun atlet-atlet tertentu tidak akan berlatih di bawah MSN lagi, KBS akan sentiasa memantau keadaan mereka dari semasa ke semasa, dan memastikan latihan akan terus dijalankan di bawah persatuan masing-masing.
“Dari semasa ke semasa kita akan adakan program latihan secara berkampung atau ‘centralised training’ macam sebulan, tapi bukan dalam masa jangka panjang,” katanya.
Tambah beliau, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail sudah memulakan rundingan dengan para atlet yang perlu ‘dibebaskan’.
Ahmad Faizal berkata, KBS akan terus memikirkan cara untuk mendapatkan dana yang diperlukan, untuk memastikan tidak ada atlet yang tertinggal untuk diberi latihan berkualiti tinggi.
“Kita akan bekerjasama dengan rakan kongsi kami. Saya harap syarikat-syarikat swasta ini dapat ke depan bersama dengan kami. Pihak KBS dan MSN sentiasa mengalu-alukan jika ada penajaan daripada pihak swasta untuk kepentingan atlet kita,” katanya, sambil menambah RM40 juta lagi diperlukan untuk meneruskan latihan-latihan dalam Program Podium seperti sebelum ini.
Program Podium diperkenalkan pada 2015 dengan objektif utama untuk meraih emas pertama di Olimpik Tokyo 2020, menduduki tangga sepuluh teratas di Sukan Komanwel 2018 dan Sukan Asia 2018 serta mempunyai 10 atlet yang menduduki ranking enam terbaik dunia.
Kontinjen Malaysia membawa pulang sebutir perak dan gangsa daripada Olimpik Tokyo 2020, menduduki tempat ke-12 di Komanwel Gold Coast dan kedudukan ke-14 di Sukan Asia Jakarta-Palembang.
Sebelum ini pada Rabu, media melaporkan pencapaian di kejohanan peringkat tertinggi merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan MSN, untuk membolehkan atlet kekal dalam program latihan bermula tahun depan.
Ahmad Faizal dalam kenyataan itu berkata, seramai 288 atlet yang juga merupakan kumpulan atlet berpotensi meraih pingat pada kesemua temasya sukan berkenaan, akan kekal mengikuti program latihan secara sepenuh masa.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata dalam pertemuan antara KBS dan lebih 40 persatuan belia pada Selasa lepas, kedua-dua pihak telah bersetuju secara konsensus untuk menetapkan tarikh baharu pelaksanaan Akta 668, melibatkan penurunan had umur belia kepada 30 tahun.
“Di dalam perjumpaan tersebut, saya dah mendengar pandangan daripada mereka. Secara umumnya begitu besar jumlah pertubuhan yang menggesa agar pelaksanaan Akta 668 ini dapat ditangguhkan.
“Maka akibat kekangan masa untuk kita terus mengadakan libat urus, maka saya telah membuat keputusan untuk menangguhkan pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata, KBS juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan persatuan-persatuan belia untuk menetapkan tarikh baharu pelaksanaan akta itu, dan memastikan situasi menang-menang untuk semua pihak.
Pada 17 November, Ahmad Faizal mengumumkan di Parlimen bahawa pelaksanaan akta mengehadkan umur untuk memegang jawatan dalam persatuan belia daripada 40 ke 30 tahun akan bermula 1 Januari tahun depan. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.