Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Bot karam Tanjung Balau: Tiga lagi mayat ditemukan -

Bot karam Tanjung Balau: Tiga lagi mayat ditemukan

TIGA lagi mayat dipercayai mangsa tragedi bot karam di perairan Tanjung Balau, di Kota Tinggi, ditemukan pagi tadi.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata, dua mayat lelaki dipercayai pendatang tanpa izin itu ditemukan pada 10 pagi manakala satu lagi mayat lelaki pada 10.54 pagi.

“Dua mayat dijumpai terdampar di pesisir pantai kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian manakala satu lagi mayat ditemukan terdampar lebih kurang 800 meter dari lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di Kota Tinggi hari ini.

Terdahulu, lima mayat ditemukan antara 6.45 pagi hingga 7.45 pagi tadi yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita.

Baca berita berkaitan: Tragedi bot bawa PATI karam : Lima lagi mayat ditemukan

Dengan penemuan ini, 19 mayat telah ditemukan berkaitan tragedi bot karam di perairan Tanjung Balau setakat ini manakala 17 mangsa dipercayai masih hilang.

Sementara itu, Simon berkata hasil saringan ke atas 14 pendatang tanpa izin yang terselamat mendapati kesemuanya negatif COVID-19.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati susulan penemuan tiga mayat antara 10 pagi dan 10.54 pagi itu, pasukan bertugas mengambil masa kira-kira sejam bagi menguruskan kelapan-lapan mayat yang dijumpai hari ini untuk dihantar ke Hospital Sultan Ismail bagi proses bedah siasat.

Selain itu, lebih 30 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan tugasan dan rondaan mencari saki baki mangsa.

Lebih 10 petugas media berkumpul di lokasi kejadian sejak dari awal pagi bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung operasi mencari dan menyelamat.

Pegawai Daerah Kota Tinggi Datin Paduka Hazlina Jalil turut meninjau lokasi kejadian. – Bernama