[VIDEO] Tiga lelaki mengamuk di tadika dipanggil polis

0
583

TIGA lelaki mengamuk di sebuah tadika di Bandar Sri Sendayan pada Selasa kerana terganggu dengan bunyi bising murid yang sedang belajar.

Menerusi rakaman video kejadian yang tular di Facebook pada Rabu, dapat dilihat  tiga lelaki telah mengamuk di tadika tersebut sehingga menimbulkan ketakutan pada guru dan murid-murid.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, polis telah pun memanggil ketiga-tiga lelaki terbabit untuk siasatan lanjut selepas pengusaha tadika membuat laporan pada Selasa.

“Difahamkan perselisihan faham berlaku disebabkan jiran terganggu dengan bunyi bising murid tadika berkenaan yang sedang belajar. Ketika kejadian terdapat seramai 76 murid.

“Hasil perbincangan antara pengusaha tadika dan tiga individu terbabit yang dipanggil di balai polis, mereka telah bersetuju supaya perkara ini tidak dipanjangkan,” katanya menurut laporan Sinar Harian pada Rabu.

Tambahnya, pihak polis berharap perkara itu tidak lagi diperbesarkan dan penduduk di kawasan berkenaan dinasihatkan supaya bertenang kerana keadaan terkawal.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak lagi menyebarkan rakaman video kejadian yang berlaku kerana boleh mendatangkan rasa tidak tenteram penduduk. – SB