Rombakan kod kandungan, usaha tangani eksploitasi agama dalam iklan

ROMBAKAN kod kandungan atau garis panduan industri komunikasi dan multimedia berupaya untuk mengatasi masalah eksploitasi agama dalam kandungan iklan, kata Pengarah Eksekutif Forum Kandungan, Mediha Mahmood.

Beliau berkata, rombakan itu juga akan menutup ruang risiko penyelewengan akidah, penipuan dan kepercayaan khurafat.

Mediha berkata ia susulan terdapat beberapa syarikat dan badan pengiklan yang tidak bertanggungjawab mengeksploitasi agama dalam gimik pemasaran.

“Sebagai contoh, penjualan air jampi dengan menggunakan testimoni keterlaluan sebagai bukti kemujaraban tetapi ia sesuatu yang tidak dapat kita pastikan sama ada betul-betul berlaku atau hanya taktik pemasaran. 

“Sesiapa yang mempertikaikan produk mereka pula disanggah kononnya mempertikaikan mukjizat al-Quran,” katanya kepada pemberita selepas program Ruang Bicara yang membincangkan tajuk ‘Isu Agama dalam Pengiklanan’ terbitan Bernama TV, pada malam Isnin.

Kod Kandungan merupakan sebuah pemudah cara dalam menerapkan elemen kawalan kendiri kepada pembuat kandungan, serta sebagai pelengkap kepada perundangan iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM98) untuk bersaing dengan pelbagai industri yang mendepani inovasi dan pertumbuhan berterusan, termasuk kandungan komunikasi dan industri.

Kod Kandungan juga adalah instrumen yang digunakan untuk mentafsir kesalahan dalam Seksyen 211 AKM98, seperti kandungan yang tidak senonoh, lucah, palsu, mengancam atau menyinggung perasaan.

Mediha berkata, cara terbaik dalam mengawal selia sesuatu kandungan iklan adalah dengan menjadikan kod kandungan sebagai rujukan.

“Rujukan kepada mereka yang mengeluar atau mencipta kandungan tersebut, platform yang menyiarkan iklan dan pengguna yang menonton.

“Pengguna ini sangat berkuasa sebenarnya, sekiranya mereka melihat sebarang iklan atau promosi yang sedang mengeksploitasi agama, mereka boleh menggunakan kuasa mereka untuk melaporkan. Supaya dapat memastikan kandungan yang lebih sihat,” katanya.

Mediha berkata, jika terdapat pelanggaran terhadap Kod Kandungan, biro aduan badan itu boleh mengambil tindakan seperti teguran bertulis, dikenakan denda hingga RM50,000 dan perintah permberhentian kandungan.

“Perlu diingatkan, Kod Kandungan adalah rujukan untuk tafsiran kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta tertakluk kepada penalti-penalti di bawah akta tersebut, termasuk hukuman pemenjaraan tidak melebihi setahun,” katanya.

Beliau berkata, rombakan Kod Kandungan itu juga merentas pelbagai isu lain termasuk tanggungjawab dalam pemerkasaan hak Orang Kurang Upaya. – Bernama