Guan Eng mohon kes rasuahnya ditangguhkan kerana ‘sakit’

JIKA dahulu kita hanya mendengar alasan sakit digunakan untuk tidak menghadiri tugas hanya digunakan oleh petugas-petugas syarikat.

Pun begitu sejak kebelakangan ini kita dapat melihat alasan sakit ini juga digunakan oleh tertuduh dalam beberapa kes pendawaan berprofil tinggi.

Terkini ialah apabila peguam Lim Guan Eng, Gobind Singh Deo & Co mengemukakan permohonan menangguhkan sambung bicara kes anakguamnya yang sepatutnya bermula Isnin 13 Disember hingga 17 Disember.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sedang menghadapi perbicaraan kes rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu.

Surat permohonan penangguhan sambung bicara itu berbunyi: “Kami dengan rendah diri ingin memaklumkan bahawa anakguam kami terpaksa melalui suatu prosedur perubatan yang melibatkan ubat bius (Anesthetic) di IJN yang dijadualkan pada 13.12.2021”.

“Kami telah menaklumkan perkara itu kepada Timbalan Pendakwa Raya Tuan Wan Saharuddin Wan Ladin dan beliau menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan kami di sini” menurut surat itu lagi.

Terdahulu daripada ini ialah kes perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Zahid Hamidi, yang masing-masing juga menghadapi tuduhan rasuah ditangguhkan beberapa kali kerana pelbagai alasan kesihatan dan lain-lain.

Sebelum ini, bagi kes Guan Eng mahkamah telah menetapkan 13 hingga 16 Julai; 28 dan 29 Julai, 16 hingga 20 Ogos, 6 hingga 10 September, 20 hingga 24 September dan 13 hingga 17 Disember depan untuk perbicaraan kes.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guang Eng, 60 didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.
Guan Eng dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi.

Kes ini akan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Guan Eng diwakili peguam Gobind Singh Deo, Haijan Omar dan Ramkarpal Singh. – SB