Sembunyikan dadah dalam batang paip PVC di reban ayam

CUBAAN seorang lelaki menyembunyikan 144 biji pil yaba bernilai RM1,440 yang dalam sebatang paip PVC di rumahnya di Tasek Hulu, Rantau Panjang gagal apabila berjaya dikesan polis kelmarin.

Lelaki berusia 42 tahun itu yang tidak bekerja ditahan dalam serbuan pukul 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, polis tidak menemui barang salah dalam rumah suspek, namun hasil soal siasat suspek kemudiannya menunjukkan sebatang paip PVC berwarna putih yang disimpan dalam reban ayam.

“Suspek mengaku dadah itu adalah miliknya dan mendapatkan bekalan daripada seorang individu bernama Jesmani yang tinggal di Tasek Pasir Putih, Rantau Panjang.

“Suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dadah yang disembunyikan dalam kasut di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Air Teniat, Lubok Stol, semalam.

Dalam serbuan berasingan pula, Mohd Nasaruddin berkata, polis merampas 16 biji pil epam dan 200 biji pil yaba bernilai RM2,160 yang disembunyikan dalam kasut di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Air Teniat, Lubok Stol, semalam.

Menurutnya, dalam serbuan pukul 5.30 petang, polis juga menahan tiga lelaki warga asing.

“Hasil saringan awal mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mengaku dadah berkenaan adalah milik mereka.

“Difahamkan, suspek mendapatkan bekalan dadah daripada seorang individu yang bernama Tok Nah yang dipercayai tinggal di Gual Sok,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti individu berkenaan.

“Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39(A), Seksyen 12(A) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya