SERAMAI 23,766 pegawai dan anggota polis serta ahli keluarga mereka telah dijangkiti CoviD-19, sejak pandemik tersebut melanda negara tahun lalu sehingga hari ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, daripada jumlah tersebut seramai 1,794 orang merupakan pegawai kanan polis; 10,577 orang pegawai rendah polis; 1,137 orang pegawai awam; manakala 10,258 orang adalah ahli keluarga.
“Bagi jumlah kematian pula, sebanyak 39 kes kematian direkodkan dalam kalangan pegawai dan anggota polis. Ia terdiri daripada empat pegawai kanan dan 35 pegawai rendah. Pegawai awam yang meninggal dunia akibat Covid-19 pula adalah seramai tiga orang dan anggota keluarga polis pula seramai 118 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kenderaan Pasukan Toyota Hilux GS Cargo Kepada Kontinjen Terengganu di Pangkalan PSP Unit 6, di Wakaf Tapai di Marang, Terengganu pada Ahad.
Pada majlis tersebut, Mazlan menyerahkan 26 pacuan empat roda jenis Toyota Hilux GS Cargo bagi kegunaan ibu pejabat polis daerah (IPD) di seluruh negeri yang bakal membantu penugasan pegawai dan anggota di negeri ini termasuk operasi pada musim banjir. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.