5,522 Polis akan bertugas sepanjang PRN Sarawak

SERAMAI 5,522 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertugas pada hari penamaan calon dan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN) Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, dalam tempoh berkenaan, Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak akan mewujudkan 47 pasukan Op Cantas di setiap daerah di Sarawak.

“Pasukan polis lain yang turut terlibat adalah pasukan ketenteraan awam iaitu Light Strike Force, Public Order And Riot Unit (PORU), Pasukan Pemantauan Udara serta bantuan empat unit dron dari Pasukan Gerakan Udara PDRM Kontinjen Sarawak,” katanya dalam kenyataan media Pesuruhjaya Polis Sarawak pada jumaat.

Polis Kontinjen Sarawak akan menggunakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta 342-Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Komunikasi Multimedia 1988, Kanun Keseksaan, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan akta berkaitan pilihan raya sepanjang tempoh penamaan calon dan berkempen.

Akta-akta ini digunapakai bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin sepanjang tempoh berkenaan.

Sehubungan dengan itu, Aidi menasihati calon dan parti yang bertanding supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang sedang dikuatkuasakan.

“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang cuba mengganggu gugat ketenteraman awam dan tidak akan berkompromi terhadap perkara sedemikian,” katanya.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 6 Disember manakala hari mengundi pada 18 Disember, dengan tempoh berkempen selama 12 hari. – SB