Shalma Eliana sudah tiada, panggil sahaja Yana!

Sejak putus cinta dengan Ismail Izzani, penyanyi Shalma Eliana mengakui ada dihampiri beberapa lelaki yang cuba mendekati dirinya.

Tegasnya, dia belum bersedia untuk bercinta dan hanya mahu memberikan tumpuan kepada diri dan kerjayanya terlebih dahulu.

“Memang benar ada yang cuba menghubungi saya melalui DM (direct message) menyatakan hasrat ingin berkenalan. Tapi saya anggap itu hubungan biasa sahaja.

“Saya selesa dan gembira begini. Tambahan pula saya mahu fokus dengan kerjaya dan tidak mahu fikir sangat soal cinta,” katanya yang baru sahaja melancarkan lagu Your Loss.

Seiring dengan pelancaran lagu tersebut, Shalma mengumumkan penjenamaan semula dirinya yang mahu dikenali dengan nama Yana.

Sambil memperkenalkan lagu baharunya, Yana juga hadir dengan imej berbeza yang dilihat lebih segar untuk dikenali ramai.

Jelasnya, Your Loss adalah sebuah karya yang jujur, lebih berani dan menunjukkan sisi baharunya yang tidak pernah didedahkan kepada umum.

“Saya anggap Your Loss sebagai permulaan kerjaya saya. Permulaan yang baharu kerana lagu ini ditulis sepenuhnya oleh saya sendiri.

“Saya tidak pernah yakin untuk berkongsi karya nukilan sendiri dengan pihak umum sebelum ini. Lagipun, lagu ini ditulis di tempat yang paling murni dan tulen iaitu di rumah saya sendiri.

“Dan di rumah semua orang memanggil saya Yana. Oleh kerana itu Yana ialah diri saya yang sejati. Sebab itu saya memilih nama tersebut,” katanya.

Berbangga dengan karya kali ini, Yana menganggap lagu tersebut sarat dengan permainan emosi berkisah tentang pengkhianatan.

Tambahnya, soal pengkhianat tidak seharusnya menjadi punca kepada kegagalan dan jangan sesekali merasa rugi jika ada pihak yang tidak menghargai kita.

“Proses menulis lagu ini berjalan dengan lancar. Saya masih ingat saat saya pulang ke rumah dengan pelbagai emosi dan terus menulis lagu ini, kemudian menyanyikannya dengan serta-merta.

“Ada beberapa bait lirik yang saya tulis sewaktu pergi berkhemah. Ia lagu yang tak dijangka dan dihasilkan begitu sahaja,” katanya.