MKN arahkan perarakan julang Piala Malaysia petang ini dibatalkan

PERARAKAN bagi meraikan kejayaan Kuala Lumpur FC (KL City FC) merangkul gelaran juara Piala Malaysia 2021 yang dijadualkan petang ini dibatalkan.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam laman Facebook beliau.

Menurut beliau, pembatalan itu dilakukan atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kami patuh arahan. Perarakan dibatalkan. Jumpa lagi. Tahniah KLCT dan KLFA,” katanya.

Perarakan itu dianjurkan bagi membolehkan warga kota melihat secara lebih dekat piala itu pada ulang tahun ke-100 kejohanan bola sepak berprestij berkenaan.

Perarakan itu dijadualkan bermula di Dataran Merdeka sekitar 4.45 petang dan akan melewati Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Campbell, Jalan Raja Laut, Kampung Baru, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Bangunan KLCC, Menara KL, sekitar Bukit Bintang dan seterusnya berhenti di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC menamatkan penantian 32 tahun untuk merangkul Piala Malaysia selepas mengejutkan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu. – SB