Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Cadangan jenamakan Wilayah Sabah, Sarawak sebagai Tanah Besar Malaysia jadi tumpuan Dewan Rakyat -

Cadangan jenamakan Wilayah Sabah, Sarawak sebagai Tanah Besar Malaysia jadi tumpuan Dewan Rakyat

PERSOALAN sama ada kerajaan bercadang untuk menjenamakan Wilayah Sabah dan Sarawak sebagai Tanah Besar Malaysia (198,354 km2 atau 60 peratus daripada tanah Malaysia) dijangka ditanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu diajukan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) kepada Perdana Menteri memandangkan Federation of Malaya(132,265 km2 hanya 40 peratus daripada tanah Malaysia) sudah sekian lama dinamakan sebagai Semenanjung Malaysia.

Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) pula akan mengajukan soalan kepada Menteri Alam Sekitar dan Air mengenai perkembangan terkini projek pembinaan tebatan banjir di tepi Sungai Golok yang melibatkan sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada soalan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) yang meminta Perdana Menteri mengesahkan sekiranya data yang dikumpul oleh Jabatan Perangkaan menggambarkan situasi sebenar kepelbagaian dimensi kemiskinan yang wujud di negara ini. 

Selepas sesi itu, persidangan diteruskan dengan sambungan sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Semalam, sesi perbahasan peringkat Jawatankuasa melibatkan Kementerian Pembangunan, Usahawan dan Koperasi dengan Dewan Rakyat meluluskan peruntukan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 sebanyak RM195,036,300 dan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM835,666,800 yang diperuntuk kepada Kementerian Sumber Manusia dalam Bajet 2022 diluluskan dengan lebih suara menyokong.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Disember. – BERNAMA