Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
[VIDEO] Semangat setia kawan Bersatu-GPS adalah tindakan terpuji - Penganalisis -

[VIDEO] Semangat setia kawan Bersatu-GPS adalah tindakan terpuji – Penganalisis

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi laluan penuh kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk bertanding di 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Disember ini.

Penganalisis politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abdul Muis berkata, keputusan yang dibuat atas dasar setia kawan antara Bersatu dan GPS itu adalah satu tindakan yang terpuji.

“Daripada perspektif tidak bertanding di Sarawak itu mungkin bagus, kalau beri laluan sepenuhnya kepada GPS atau dasar setia kawan itu adalah satu tindakan yang terpuji.

“GPS menjadi penyokong yang setia dan kuat kepada Bersatu ketika Bersatu membina kerajaan di dalam Perikatan Nasional (PN) dan juga sekarang ini pun begitu.

“Bersatu melihat GPS sebagai parti tempatan di situ, jadi menghormati sokongan GPS selama ini kepada Bersatu ketika PN memerintah maka mereka tidak bertanding,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Pada Sabtu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kemampuan GPS yang dilihat mampu memenangi semua kerusi yang bakal ditandingi di negeri itu.

Bagaimanapun, Mujibu berpendapat sebagai parti politik, Bersatu mampu untuk ‘test the water’ bagi menguji istilah ‘Pribumi’ yang dibawa oleh parti berkenaan, menepati demografik di Sarawak.

“Tetapi, sebagai parti politik mungkin kalau tidak bertanding di 82 kerusi, mungkin boleh tengok kerusi-kerusi orang Melayu untuk ‘test the water’ bagi melihat penerimaan dan juga sentimen parti-parti Melayu atau untuk bina ‘base’ di Sarawak.

“Bersatu membawa istilah ‘pribumi’ menepati ciri-ciri demografik di Sarawak kerana membawa istilah itu, mungkin kalau mereka bertanding mereka tidak semestinya bertanding di kawasan Melayu-Melanau, mereka juga boleh masuk di kawasan-kawasan lain, hanya untuk ‘test the water’,” katanya.

Sementara itu, Mujibu turut menjangkakan laluan mudah untuk GPS menang dengan majoriti bergaya dalam PRN kali ini.

Sebelum ini, Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan GPS kekal dengan keputusan bertanding di semua 82 kerusi DUN.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut berkata, Bersatu akan mengadakan perbincangan dengan parti komponen PN dan GPS untuk menentukan strategi serta persiapan menghadapi PRN Sarawak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember ini sebagai hari pengundian PRN Sarawak, hari penamaan calon pada 6 Disember manakala pengundian awal pada 14 Disember. – SB