PARTI-parti politik perlu berhenti tunding menunding jari dengan mengatakan terdapat pihak yang melanggar penjanjian memorendum persefahaman (MoU) sehingga membuatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka roboh, dan terpaksa menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr. Rusdi Omar bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh Datuk Asyraf Wajdi dalam satu bual bicara bersama Astro Awani pada Khamis, namun berpendapat Ketua Pemuda UMNO itu perlu melihat kembali punca kepada kejatuhan kerajaan Melaka.
“Sudah tentu Asyraf Wajdi akan menyalahkan PH kerana membuat tindakan untuk jatuhkan kerajaan ketika itu, tetapi dalam masa yang sama, pemimpin UMNO di Melaka juga ada buat kesilapan.
“Kenapa boleh ubah sokongan terhadap kerajaan yang sedia ada ketika itu? Kalau kedua-dua pihak betul-betul ikut perjanjian MoU dan ada integriti, tidak akan berlaku PRN Melaka haritu,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.
Beliau berkata sedemikian bagi mengulas kenyataan Asyraf Wajdi yang menyatakan bahawa terdapat kemungkinan MoU yang dimeterai oleh kerajaan pusat dan Pakatan Harapan (PH) dikhuatiri tidak dapat bertahan sehingga Julai depan.
Menurut Asyraf Wajdi, perkara itu adalah ekoran daripada PH yang kelihatan tidak serius dalam mempertahankan MoU apabila gabungan itu bertindak memberi perjanjian untuk menyokong Idris Haron menjadi Ketua Menteri di sebalik kedudukan ADUN itu sebagai Ahli UMNO.
Beliau menambah, apa yang berlaku di Melaka itu adalah ekoran kerakusan dan ketamakan pemimpin parti-parti politik yang terlibat dalam mengejar kuasa tanpa mengambil kira kepentingan rakyat.
“Saya tak nafi apa yang dikatakan oleh Asyraf Wajdi itu, kerana apa yang berlaku di Melaka itu berpunca daripada ahli UMNO sendiri tetapi dalam masa yang sama, perkara ini terdapat penglibatan daripada PH. Kalau betul-betul nak perkukuhkan MoU daripada dua-dua parti ini, tidak akan timbul isu ini,” ujarnya.
Senada dengan Rusdi Omar, penganalisis politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, bagi mencapai perjanjian MoU, kedua-kedua pihak perlu memainkan peranan masing-masing.
“Apa yang Asyraf cakap itu betul, tetapi pihak kerajaan juga perlu pastikan pelaksanaan MoU itu dapat dicapai. Tidak boleh kalau satu pihak sahaja yang mengambil semangat MoU itu,” ujarnya.
Bagaimanapun, Mohd Izani menyifatkan kenyataan daripada Asyraf Wajdi itu merupakan salah satu cara pihak UMNO untuk mempercepatkan PRU diadakan.
“Bila BN menang besar di PRN Melaka, mereka ada keyakinan untuk berhadapan dengan PRU. Jadi, mereka mungkin hendak menggunakan momentum daripada PRN Melaka untuk dibawa ke PRU.
“Dalam pandangan saya, sebenarnya pandangan Ashraf Wajdi itu sebenarnya bila dia nak kata perjanjian MoU itu sudah tidak dihormati (Oleh PH), perjanjian itu boleh dibubarkan, maka perlu buat PRU lebih awal. Maksudnya, masing-masing ingin mengambil kesempatan dengan menggunakan alasan tersendiri untuk kepentingan mereka.
“Yang nak cepatkan PRU pun BN, jadi boleh nampak yang mereka pun ada cubaan untuk melanggar MoU tersebut,” ulasnya.
Beliau menambah, apa yang berlaku di Melaka mungkin berpunca daripada semangat perjanjaian MoU yang tidak kukuh di peringkat negeri.
“Setakat ini di peringkat nasional masih tiada masalah dalam isu pelanggaran perjanjian MoU, di peringkat negeri seperti di Melaka sudah berlaku, mungkin kerana semangat MoU mungkin tidak sampai di peringkat negeri.
“Jadi, kita tak mahu kalau apa yang berlaku di Melaka seperti penarikan sokongan dan sebagainya turut berlaku di peringkat pusat. Kita nak pastikan kerajaan ini sekurang-kurangnya kekal sehingga julai depan,” ujarnya.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.