Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Restoran Hameediyah jawab kecaman jual sotong goreng RM100 -

Restoran Hameediyah jawab kecaman jual sotong goreng RM100

SELEPAS dikecam warga maya ekoran menjual dua ekor sotong pada harga RM100 seperti yang tular di dalam media sosial hari ini, pengusaha restoran nasi kandar popular Hameediyah di Georgetown, Pulau Pinang tampil menjelaskan perkara sebenar.

Pengarah Restoran Hameediyah Lebuh Campbell, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, harga lauk itu tidak sepatutnya menjadi isu memandangkan pihaknya sudah memaparkan kesemua harga makanan yang dijual untuk pengetahuan pelanggan.

Malah katanya, harga lauk sotong itu juga dipaparkan dengan jelas antara RM10 hingga RM150 termasuk harga makanan lain yang dijual di restoran tersebut.

Jelasnya lagi, sotong goreng jenis ‘appollo’ itu agak mahal iaitu dibeli pada harga RM35 hingga lebih RM40 sekilogram selain harganya yang sentiasa berubah-ubah di pasaran.

Menjelaskan lebih lanjut tambahnya, beliau sendiri mengambil pesanan pelanggan terbabit yang turut membungkus sotong goreng untuk dibawa pulang selain nasi beriani, nasi putih, telur masin, sebungkus papadom dan sayur timun.

Menurutnya, sotong goreng yang dibungkus pelanggan itu juga bersaiz besar iaitu berharga antara RM110 dan RM120 untuk dua orang, namun dia telah memberikan diskaun kepada pelanggan terbabit.

“Apabila pelanggan ini menempah hidangan sotong tersebut mereka tidak bertanyakan mengenai harganya.

“Mereka juga melihat dengan jelas harga yang saya kenakan ketika mahu membayar tetapi tidak mengadu apa-apa ketika itu.

“Saya tidak menyangka mereka bertindak menyiarkan salinan resit ini ke dalam media sosial sehingga menjadi tular dan saya anggap mereka sengaja mahu melakukannya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu awal hari ini, gambar resit dan lauk sotong berhara RM100 itu ditularkan di dalam media sosial dipercayai oleh pelanggan terbabit yang turut meminta orang ramai berhati-hati sekiranya mahu makan di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, ini bukan kali pertama restoran berkenaan tular di dalam media sosial selepas kejadian hampir sama membabitkan hidangan ayam piru sebelum ini yang turut didakwa terlalu mahal.

Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya sudah mempamerkan dengan jelas harga makanan yang dijual di restoran itu pada papan tanda harga dan tidak memaksa pelanggan membelinya sekiranya beranggapan harganya terlalu mahal.

“Malah, saya juga meminta pekerja untuk memaklumkan kepada pelanggan mengenai harga hidangan tertentu yang mahal,” katanya.