[VIDEO] Ketika hujan lebat saya berdoa janganlah jadi macam dulu’- mangsa banjir kilat Bukit Belacan

“SAYA sedang makan, hujan semakin lebat dan saya mula berdoa, Ya Allah janganlah jadi seperti dulu, tak sanggup sebab saya duduk seorang diri,” luah mangsa banjir kilat di Bukit Belacan, Norashikin Dollah, 58, sambil menyapu air matanya.

Mangsa yang baru sahaja kehilangan suami akibat Covid-19 pada Ogos lalu berkata, banjir kali ini adalah kejadian terburuk sejak kali terakhir bencana sama berlaku pada tahun 2012.

“Air mula naik sekitar waktu Maghrib dan berlaku terlalu cepat. Ketika itu saya masih di rumah dan hanya memerhatikan keadaan sahaja kerana tidak sangka pula air boleh naik tinggi dengan mengejut.

“Orang mula panggil suruh naik ke kawasan yang lebih tinggi, saya naik pergi ke tepi jalan. Kawan-kawan juga panggil untuk tumpang tidur di rumah mereka, tapi saya tolak sebab nak tengok rumah,” katanya kepada SatuBerita.


Keadaan rumah Norashikin terjejas teruk apabila sebahagian rumahnya hampir roboh setelah dirempuh arus deras.

Manakala bagi Nyaros Ahmad, 77, dia sudah sedia maklum dengan ramalan akan berlaku banjir kilat di kawasan sekitar dan mula mengemas barang-barang untuk bersedia menghadapi banjir lebih awal lagi.

“Tengah berkemas, saya rasa tak sedap hati. Tiba-tiba anak bongsu panggil dan cakap ‘Mak! Air dah naik tinggi!’. Saya pula sakit kaki tak boleh nak berlari. Saya dengan ‘berkaki ayam’ terus naik ke kawasan tinggi dekat dengan flat itu.

“Rumah ini sekarang bila hujan sikit pun dah takut dah. Tapi dulu hujan biasa pun tidak menyebabkan banjir, cumanya cerita orang-orang sini kata banjir ni disebabkan empangan di belakang sana sudah pecah,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi warga emas, Fatimah Mansor, 78, berkata, ketika kejadian dia sedang memasak sebelum menyedari paras air sudah meningkat.

Fatimah Mansor menunjukkan kesan paras air pada dinding rumahnya

“Saya tengok hujan lebat dengan angin kuat . Saya sangka tiada apa-apalah, rupanya air sudah naik sikit-sikit sampai ke dapur. Saya terus melarikan diri ke kawasan tinggi.

“Barang-barang pun tak sempat nak selamatkan kerana saya seorang diri. Anak pun baru balik berniaga. Kelam kabut memang tak sempat nak selamatkan. Sekejap sahaja air sudah naik,” katanya.

Tambahnya, kejadian sama yang melanda pada tahun 2012 juga telah menyebabkan kerosakan teruk kepada harta benda miliknya sehingga kesemuanya terpaksa dibuang begitu sahaja. – SB