Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Jurujual, bekas kekasih terlepas hukuman gantung -

Jurujual, bekas kekasih terlepas hukuman gantung

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG jurujual telefon bimbit dan bekas kekasihnya terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini melepas dan membebaskan mereka atas lima pertuduhan mengedar dan memiliki dadah pada 2017.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan tersebut selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap Goo Woei Tye, 33, dan Yang Wendy, 25, pada akhir pendakwaan kes terhadap bekas pasangan kekasih itu.

Woei Tye menghadapi satu pertuduhan memiliki dadah jenis 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) atau ekstasi seberat 2.78 gram.

Kedua-dua tertuduh juga secara bersama-sama menghadapi tiga pertuduhan mengedar dadah jenis 3,4 MDMA seberat 91.22 gram dan 71.33 gram serta ketamin seberat 14.89 gram.

Selain itu, kedua-duanya secara bersama-sama turut didakwa memiliki dadah jenis 3,4 MDMA seberat 40.14 gram.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah pangsapuri di Jalan Dato’ Abdullah Tahir, di sini jam 6.45 petang pada 12 November 2017.

Bagi pertuduhan mengedar dadah, mereka didakwa dibawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala bagi pertuduhan memiliki didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faizal Noor Hadi manakala kedua-dua tertuduh diwakili Mohd. Daud Ismail dan R.K. Menon. – SB