PM ucap takziah buat Shuib

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan takziah kepada pelawak, Shuib Sepahtu atas pemergian isteri tersayang, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin, pagi tadi.

Dalam kenyataan di Facebook rasminya, Perdana Menteri berkata, beliau berserta seluruh rakyat Malaysia turut bersedih atas pemergian Allahyarham.

“Khabar duka kehilangan anak seni yang cukup berbakat ini meninggalkan suami, empat anak dan seorang bayi dalam keadaan Allahyarham bertarung nyawa di hospital, amat memilukan.

“Bukan sahaja ahli keluarga dan para peminatnya, bahkan seluruh rakyat Malaysia termasuk saya turut bersedih,” kata Perdana Menteri.

Beliau berharap, ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham tabah menghadapi detik-detik yang mendukacitakan itu, selain mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solehah.

“Semoga Allah SWT terus melindungi dan memberi kekuatan kepada kita semua untuk berjuang memerangi pandemik ini. Insya-Allah.

“Ya Allah, ampunilah, rahmatilah dan redailah mereka yang telah terkorban akibat virus berbahaya ini. Moga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan moga keluarga yang ditinggalkan terus kuat mengharungi hari-hari mendatang,” kata Perdana Menteri.

Terdahulu Siti Sarah, 36, menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi tadi di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), setelah dijangkiti Covid-19.

Penyanyi lagu Semakin itu ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang, Jumaat lalu.

Namun, selepas itu, paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi, dan mula menunjukkan perkembangan positif meningkat sehingga 85 peratus.

Jenazahnya dikebumikan bersebelahan kubur ibunya di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak, jam 1.20 petang tadi.