PERANG dingin antara Amerika Syarikat (AS) dan Rusia tidak pernah tamat sepenuhnya.
Terbaharu, seteru AS tersebut telah menimbulkan keberangan negara uncle Sam itu apabila Russia mengadakan ujian peluru berpandu yang didakwa mengancam keselamatan angkasawan yang berada di Pusat Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
AS mengutuk tindakan Rusia kerana melakukan ujian tembakan peluru berpandu anti-satelit sehingga membahayakan krew Pusat Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) termasuk rakyat negara komunis itu sendiri.
Ujian Rusia yang disasarkan kepada Kosmos-1408, sebuah satelit lama dan tidak lagi berfungsi milik negara komunis itu, dianggapkan sebagai perbuatan berbahaya dan tidak bertanggungjawab.
ISS yang berada di orbit pada ketinggian kira-kira 420 kilometer mempunyai tujuh krew – dua rakyat Rusia, empat AS dan seorang Jerman.
Pusat Agensi Angkasa Lepas Rusia, bagaimanapun tidak memperbesar-besarkan kejayaan negara itu memusnahkan satelit yang mengakibatkan 1,500 serpihan sampah di angkasa lepas.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price menyatakan kemarahan AS terhadap sikap cuai Rusia apabila tindakan itu memaksa semua krew ISS mengambil langkah perlu untuk menyelamatkan diri mereka daripada sebarang kemungkinan.
Beliau berkata, serpihan sampah satelit perisikan Rusia seberat satu tan itu boleh mengundang bahaya kepada operasi-operasi kapal angkasa lain pada masa depan sekali gus mengancam kepentingan negara-negara dunia.
Keadaan di angkasa lepas semakin memburuk apabila terdapat sejuta objek berupa serpihan sampah dengan saiz antara 1 sentimeter hingga 10 sentimeter berlegar-legar dan bergerak laju sehingga boleh menghentam satelit komunikasi dan juga cuaca dan menyebabkannya gagal untuk berfungsi.
Selain AS dan Rusia, China dan India juga mempunyai keupayaan untuk memusnahkan satelit di angkasa lepas. – AGENSI
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.