TIGA parti teras Melayu-Islam dan bumiputera iaitu PAS, UMNO dan BERSATU perlu disatukan dengan bertujuan memimpin perubahan yang positif, menurut Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, ia penting bagi memimpin perubahan dengan penubuhan Muafakat Nasional (MN), disertakan pendekatan masyarakat majmuk dengan penubuhan Perikatan Nasional (PN) bersama prinsip yang anjal bagi melakukan perubahan yang positif berikutnya.
Pada masa yang sama, Abdul Hadi turut mengingatkan umat Islam menunjukkan contoh dengan kembali kepada ajaran agama dan menolak sebarang agenda peribadi serta kumpulan yang berfikiran sempit.
“Maka, hendaklah disingkirkan langkah negatif yang diambil oleh kalangan penganut Islam yang lemah serta tidak yakin kepada agama sendiri dan rupa bangsa yang menjadi ketetapan Allah SWT.” katanya melalui perkongsian di Facebook.
Tambah beliau, asas yang kukuh diletakkan dalam Perlembagaan negara ketika mencapai kemerdekaan, apabila ditegaskan Islam sebagai agama bagi persekutuan, serta mengiktiraf hak beragama bagi penganut agama lain dan konsep demokrasi.
“Manakala konsep Raja Berperlembagaan menjadi tonggak yang boleh dilakukan tindakan susulan bagi memperkenalkan acuan perpaduan dalam masyarakat majmuk.” katanya.
Menurut Abdul Hadi, kita harus ambil iktibar daripada negara yang lebih besar yang telah membatalkan kedudukan Islam dalam perlembagaan dan menghapuskan sistem beraja.
“Sehingga ada dalam kalangan yang ekstrem dibunuh, memaksa masyarakat majmuk untuk menghapuskan bangsa dan bahasa lain daripada penduduk asalnya.
“Mereka dipaksa menukar nama diri dan tidak membenarkan bahasa kaum masing-masing digunakan, sehingga gagal menyatukan rakyat sendiri.” kata Abdul Hadi. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.