Isteri hamil, Harith Zazman lancar lagu baru

PERNAH popular dengan lagu Cute (Stoplah Being So Cute) yang dilancarkan setahun yang lalu, siapa sangka percubaan Harith Zazman menjadi apabila lagu tersebut mendapat sambutan hangat.

Lagu yang cukup catchy, cepat menangkap dan menjadi kesukaan anak muda itu menjadi tanda aras kehadirannya diterima baik oleh peminat.

Kini Harith muncul dengan lagu Shut Up yang sudah dilancarkan secara rasmi pada 1 Oktober lalu sebagai hadiah buat peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya.

“Ini adalah lagu solo pertama saya. Sejujurnya saya amat takut juga pada awalnya, tapi pengurus saya cakap bila lagi nak buat secara solo kalau bukan sekarang.

“Jadi, saya pilih tarikh 12 November untuk melancarkan video muzik rasmi lagu ini. Dalam MV ini akan berkongsi yang mana isteri saya hamil. Jadi ini adalah eleman kejutan yang ditampilkan dalam MV.

“Untuk MV semua idea datang daripada pengarah, Hafreez Amminuddi. Dia memang nak sesuatu yang berbeza daripada saya. Jadi, itu yang timbul idea ‘alien’ dan ‘outer space concept’.

“Apa pun ia pengalaman yang menarik ketika penggambaran dijalankan. Kena tengok betul betul juga di mana ada babak di mana isteri saya mengandung. Secara tak langsung saya nak berkongsi berita gembira ini,” katanya yang berkahwin pada 28 Ogos lalu.

Berkongsi mengenai percubaannya bergerak solo tanpa berkolaborasi dengan mana-mana penyanyi, Harith mengakui timbul rasa gementar memikirkannya.

“Sebelum ini saya berkolaborasi dengan artis lain seperti Loca B dan Tuju. Kali ini pengurus cakap buatlah lagu dan menyanyi secara solo pula.

“Apa saya risau adalah saya ini bukan penyanyi dari awal, jadi agak gementar kalau nak buat persembahan tanpa ada orang di sebelah.

“Itu yang buatkan saya risau. Tapi saya fikir, lama kelamaan kalau nak buat perkara ini serius kena belajar jika mahu terus bergerak solo. Kalau tak bila lagi nak buat,” kata penyanyi berusia 27 tahun ini lagi. – SB